Naza Premira Sdn Bhd hari ini melancarkan Vespa Notte Edition bagi dua model sedia ada sebelum ini; Vespa GTS Super 300 ABS dan Sprint 150 i-GET ABS. Sesuai dengan imej “notte” atau terjemahannya “malam” yang ditonjolkan, ini merupakan edisi serba hitam bagi dua model berkenaan.

Dijual pada harga masing-masing bermula RM17,700 (Sprint 150) dan RM29,000 (GTS 300) – naik dari RM1k hingga RM2k, kedua-duanya mula berada di bilik pameran rasmi Vespa di seluruh negara. Tampil hanya dalam warna hitam, membesakannya daripada versi biasa model sama ialah penggunaan kemasan hitam berkilat bagi menggantikan kebanyakan kemasan krom yang digunakan sebelum ini.

Antara bahagian yang terlibat ialah cermin sisi dan lengannya, “tali leher” pada wajah depan, palang pemegang penumpang belakang, rim, meter serta bingkai lampu utama, terutama bagi model Sprint 150. Sama seperti sebelumnya, model dengan enjin i-Get ini juga datang dengan lampu utama dan DRL LED, manakala GTS 300 kekal dengan lampu biasa.

Tiada perubahan dari segi spesifikasi mekanikal; Vespa Notte GTS Super menggunakan enjin Quasar 273 cc silinder tunggal, dengan janaan kuasa sebanyak 15.6kW pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm. Ciri lain yang menjadi kelebihannya ialah sistem kawalan cengkaman ASR dan juga ABS (2-saluran).

Bagi Vespa Notte Sprint 150 pula, ia menggunakan unit 150 cc i-get dengan janaan kuasa 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi kedua-dua model ini menggunakan transmisi automatik CVT.