Pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, Naza Premira Sdn Bhd hari ini memperkenalkan tiga lagi model tahun 2018 terbaru untuk pasaran tempatan; Vespa Primavera 150, Vespa Sprint 150 dan Vespa GTS 300 Super Sport. Ini susulan pengenalan model-model edisi terhad September lalu.

Bermula dari sejarah model pertama yang diperkenalkan sejak 1968, Vespa Primavera 2018 kini tampil dengan beberapa pembaharuan. Antaranya ialah dengan rekaan ala tali leher yang menghiasi wajah depannya, serta kemasan krom pada mudguard depan.

Primavera juga menggunakan rim 12-inci lima jejari untuk memberikan lebih kestabilan dan keseronokkan tunggangan. Lampu depan dan lampu belakang juga kini menggunakan teknologi LED.

Sebagai tambahan, pilihan warna baru juga diperkenalkan. Ini termasuk Beige Metallic, Nero Vulcano dan Monto Bianco. Bagi enjin, ia menggunakan unit 150 cc i-get dengan janaan kuasa 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

Pemilik juga boleh memilih untuk menyesuaikan citarasa kustom mereka dengan barisan aksesori yang turut ditawarkan sebagai pilihan, seperti kotak barangan, perehat belakang, rak barangan dan lain-lain. Vespa Primavera 2018 ini dijual pada harga RM15,600.

Bagi model Vespa Sprint pula, ia turut menerapkan pembaharuan yang sama dengan Primavera, dengan rekaan dan penggayaan keseluruhannya menjadi pembeza utama – spesifikasi enjin adalah sama.

Sedikit kelainan pilihan yang ditawarkan ialah dari segi pilihan warna; Blue Matt, Monte Bianco, Rosso Dragon dan Grigio Titantio. Aksesori pilihan yang ditawarkan pula adalah seperti kotak barangan khusus, cermin penghadang angin di depan dengan logo Vespa serta mudguard depan dan belakang. Selain itu, rim aloi dwi-warna dengan grafik Sport menghiasi penampilannya. Vespa Sprint 2018 dijual pada harga RM16,400.

Vespa GTS Super Sport pula menjadi model paling berkuasa dalam barisan skuter yang ditawarkan Vespa ketika ini. Ia menggunakan enjin Quasar 273 cc silinder tunggal, dengan janaan kuasa sebanyak 15.6kW pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm. Ciri lain yang menjadi kelebihannya ialah sistem kawalan cengkaman ASR dan juga ABS.

Model ini kini tampil dalam gandingan warna dan kemasan baru, serta rekaan grafik yang turut diberi kesegaran. Pilihan warna baru terdirii daripada Red Matt dan Grigio Titanio. Vespa GTS 300 Super Sport 2018 dijual pada harga RM28,000.

Vespa Primavera 150 2018

Vespa Sprint 150 2018

Vespa GTS 300 Super Sport 2018