Penerimaan terhadap skuter automatik ketika ini boleh dikatakan semakin bertambah, walaupun tidaklah sepopular jenis motosikal lain yang setara (dari sudut harga dan kapasiti enjin). Antara petunjuk yang boleh menjelaskan tentang hal ini ialah penawaran pelbagai model baru skuter automatik, serta adanya segmen motosikal jenis ini dalam barisan produk hampir semua jenama yang ada dipasarkan di Malaysia.

Ini sesuatu yang menarik. Kerana, apabila penerimaannya berkembang, pilihan yang akan dibawa masuk dan diperkenalkan kepada pengguna di sini akan bertambah. Bagi mereka yang memahami tujuan rekaan sesebuah skuter, pasti akan dapat menghargai apa yang boleh ditawarkan olehnya. Antaranya ialah gaya tunggangan yang sangat mudah, sekaligus menjadikannya sangat praktikal untuk kegunaan dalam bandar.

Sebaliknya, perkara yang menjadikan ia sebagai pilihan kurang popular berbanding kapcai misalnya adalah mungkin kerena skuter kurang “menyeronokkan” dalam maksud untuk kerja-kerja ubahsuai bagi mendapatkan prestasi dan kelajuan yang lebih mengujakan. Begitu juga dengan ciri khas tunggangan skuter yang lebih bersahaja.

Ada segelintir orang juga melihat penggunaan kotak gear automatik sebagai satu “kekurangan” yang membataskan keterujaan tunggangan mereka. Dan, paling penting tentulah kos yang terlibat, baik untuk memiliki atau untuk menyelenggara, apa lagi kalau ingin melakukan modifikasi terhadap skuter akan lebih mahal berbanding kapcai.

Faktor-faktor ini boleh difahami. Tetapi adakah benar tunggangan sebuah skuter selalunya tidak menyeronokkan? Mungkin benar, terutama jika kapasiti enjin skuter yang anda gunakan kecil, ditambah pula dengan bebanan lain (termasuk penunggang) yang ada, memang betul ia akan rasa berat, kurang kuasa serta pick-up yang lambat.

Tetapi, ini sama sekali berbeza sekiranya kapasiti enjin skuter yang anda gunakan semakin meningkat. Jika dahulu, skuter dengan enjin 100 cc atau 125 cc antara yang paling banyak ada dalam pasaran (sebab harga murah dan munasabah), sekarang ini pilihan semakin meluas.

Ada skuter dalam julat kapasiti 150 cc seperti Honda PCX dan Yamaha NMax/NVX, dan ada juga enjin sekitar 250 cc seperti Modenas Elegan dan SYM Cruisym 250i yang ada dipasaran Malaysia ketika ini. Kalau nak yang kapasiti besar lagi pun ada; Honda X-ADV 750 cc, Yamaha TMax 530 (ini tak dijual di Malaysia secara rasmi) dan BMW C650GT antara beberapa contoh yang disebutkan.

Memasuki kelompok skuter dengan kapasiti enjin yang semakin besar ini juga bermakna pengalaman tunggangan juga ada perbezaan, dan itu mungkin dapat memberikan kepuasan dan keseronokkan tunggangan yang tidak terdapat pada jenis motosikal yang lain. Dan, Vespa GTS Super 300 bukanlah pendatang baru bagi kelompok skuter yang dinyatakan ini.

Ia pernah dijual di Malaysia beberapa tahun sebelum ini, tetapi dari versi CBU pemasangan Itali dengan harganya yang agak tinggi ketika itu, sekitar RM36,000. Namun, model sama dalam penampilan dan penawaran yang lebih segar dilancarkan pada bulan Mac lalu, kini melibatkan pemasangan CBU juga tetapi dari negara serantau, Vietnam. Ini termasuklah enjin Quasar 278.3 cc yang melengkapi skuter ini – dahulunya enjin berkenaan hanyalah untuk model skuter yang dipasang di Itali sahaja.

Perkembangan ini membolehkan Vespa GTS Super 300 mengalami penurunan harga yang sangat ketara; harga jualannya ketika dilancarkan ialah RM28,202 (atas jalan, termasuk GST), yang kemudiannya menjadi RM26,670 atas jalan tanpa GST. Mengambil kira harga CBU Itali dahulu dan dibangdingkan dengan harga versi terbarunya tanpa GST, perbezaan harga yang terlibat adalah sekitar RM10k. Untuk sebuah motosikal atau skuter, penjimatan yang diperoleh ini besar nilainya.

Vespa GTS Super 300 baru ini juga hadir kini dengan beberapa tambahan ciri terbaru, terutama dari aspek keselamatan. Pertama sekali, elok kita tahu dulu perihal enjinnya; enjin Quasar 278.3 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 21.2 hp pada 7,750 rpm serta tork pada kadar 22 Nm pada 5,000 rpm. Bagi sebuah skuter automatik, angka-angka ini akan memberikan respon tunggangan yang berbeza – ia malah dirasakan menyediakan prestasi yang boleh disifatkan padu juga.

Dari segi keselamatan, Vespa GTS Super 300 kini dilengkapi dengan ciri ABS dua saluran (untuk brek depan dan juga belakang). Selain itu, model ini juga turut didatangkan dengan ciri Anti Slip Regulation (ASR), yang dalam bahasa mudah bertindak selaku kawalan cengkaman (traction control).

Apa yang dilakukan oleh ASR ini adalah, jika skuter yang ditunggang berada di dalam situasi yang dirasakan roda belakangnya berkemungkinan menggelungsur disebabkan cengkaman pada permukaan jalan tidak mencukupi, ia dengan secara automatik akan mengehadkan kuasa yang disampaikan dari enjin. Dalam keadaan ini, rodanya tiada peluang langsung untuk tergelincir, kerana kuasa yang disalurkan terbatas.

Selain itu, ciri yang dipanggil Tilt Sensor juga akan memberi manfaat kepada penunggang. Terutama dalam situasi kemalangan atau dalam keadaan motosikal ini hampir tumbang. Sekiranya kedudukannya condong melebihi kira-kira 70 darjah (bayangkan situasi motosikal sedang tumbang dan merapat pada permukaan jalan), ciri ini akan berfungsi untuk mematikan enjin secara automatik.

Bagaimana dengan penggunaan hariannya? Selepas meluangkan masa menunggang dalam tempoh seminggu, saya terfikir, bagaimana (kalau ada) orang boleh jadi tak suka dengan skuter seperti ini? Ia selesa, kuasa pun bukan calang-calang, dan ia mampu menjadi teman terbaik setiap hari, terutama ketika terpaksa melalui kesesakan jalan raya – pulas minyak dan jaga brek sahaja, tak perlu susah payah fikir tentang gear.

Untuk berlaku adil, memanglah, dengan harga yang dikenakan ini, banyak lagi motosikal yang boleh dipertimbangkan, terutama yang berada di luar kategori skuter seperti ini. Dan, jika lihat pada tanda harga, mungkin masih ramai yang merasakan ia masih agak mahal. Ini belum lagi ambil kira kos servis yang tentunya tinggi sedikit, misalnya jika dibandingkan dengan kapcai atau motosikal lain dengan sesaran enjin yang hampir sama.

Jika dilihat dari sudut ini, mungkin ada sisi yang boleh diterima. Tetapi, jika dilihat tanda harga semua skuter dan motosikal lain dalam kategori enjin sekitar 250 cc, Vespa GTS Super 300 ini boleh dikatakan menawarkan harga yang kompetitif juga, terutama versi pemasangan Vietnam yang diuji ini.

Jadi, bagi seorang pengguna skuter sedia ada, saya berasa sangat selesa ketika berada di atas skuter ini. Sama ada berbaloi untuk memilikinya atau tidak, itu boleh didebatkan dengan panjang lebar. Cuma, dari segi penawaran produk, Vespa GTS Super 300 ini saya rasakan sangat menarik sebenarnya.

Maklum balas pendikit dengan daya tujah yang segera memudahkan penunggang untuk mengagak input yang perlu diberikan. Tetapi, perlu berwaspada juga dengan hal ini. Sebab, kalau tak sengaja terlebih pulas pendikit dengan banyak, alamatnya boleh terpelantinglah skuter ini, tambah-tambah dalam keadaan penunggang yang tak bersedia.

Dan, ketika menunggang, kedua-dua tangan perlu diletak pada bahagian pemegang. Dalam keadaan hanya sebelah tangan sahaja pada pemegang, skuter ini akan menghasilkan gegaran agak ketara, yang mungkin sedikit bahaya untuk kendalian sekiranya perhatian anda tidak diberikan sepenuhnya kepada tunggangan.

Walaupun saya merasakan skuter ini menarik kerana mudah dikendalikan tunggangannya, dan berbaloi untuk dimiliki jika anda memang penggemar tegar Vespa serta ada kelapangan wang ringgit, saya rasakan ada beberapa keadaan yang mungkin menjadikan skuter ini tidak sesuai untuk sesetengah orang.

Disebabkan model dengan logo GTS ini datang dengan badan atau kerangka luar yang saiznya lebih besar berbanding model Vespa lain, ia mungkin tidak akan menjadi begitu selesa untuk penunggang yang bertubuh kecil dan rendah. Kedudukan tempat duduknya agak tinggi, dan badannya lebar. Jika anda perlu selalu terjengket semasa berhenti, itu mungkin bukan pengalaman yang menyenangkan.

Sebagai skuter untuk tujuan komuter harian, ada dua perkara yang saya tidak suka tentang Vespa GTS Super 300 ini. Pertama, ruang barangan bawah tempat duduknya sangat cetek dan terhad. Nak simpan satu helmet open face pun tak boleh. Memanglah ada disediakan cangkuk pada bahagian pangkal tempat duduk untuk anda sangkutkan helmet di luar, tetapi ruang yang sangat kecil ini menjadi kekurangan yang agak besar.

Ada waktu kita misalnya perlu membeli barang, atau ingin simpan helmet (dan tak ada kotak simpanan tambahan) dengan selamat ketika meletakkan skuter ini untuk satu jangka masa, mana nak letak semua benda itu? Ini menjadi masalah kerana ia sebuah skuter, bukan superbike. Untuk dijadikan konteks yang lebih jelas, Yamaha XMax 250 misalnya mampu memuatkan dua buah helmet di bawah tempat duduknya.

Kedua, tunggu sehingga anda terpaksa membawa pembonceng. Kalau saiz tubuh pembonceng itu kecil, mungkin tak jadi masalah; bahagian tempat duduk penumpang belakang sangat sedikit. Anda boleh lihat potongan tempat duduknya – untuk penumpang memang lebih dari cukup, tetapi untuk pembonceng ada sedikit kurang. Ini rungutan yang saya terpaksa hadap sediri kadang-kadang. Dua hal ini termasuk dalam kategori “dosa besar” juga untuk sebuah skuter, yang sepatutnya menjadi sangat praktikal dan memudahkan.

Setakat yang sempat diperhatikan, satu tangki penuh petrolnya (berkapasiti 8.5 liter) mampu memberikan jarak kira-kira 180 km sebelum perlukan isian semua. Ini bagi tunggangan yang kebanyakannya dalam bandar sahaja. Untuk perjalanan jauh, mungkin lebih sedikit jarak yang boleh didapatkan. Dan, bercakap tentang perjalanan jauh, dengan kuasa dan keselesaan yang ada padanya, Vespa GTS Super 300 ini mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik, tentunya.

Lain-lain aspek praktikaliti bagaimanapun berada pada tahap yang sangat memuaskan. Ada slot pengecas USB. Nak buka ruang di bawah tempat duduk hanya dengan satu butang dan boleh juga gunakan remote key yang disediakan. Cangkuk untuk membawa barangan ringan juga ada tersedia dibahagian luar. Ruang kaki yang tersedia membolehkan kaki anda lega sepanjang perjalanan, serta memudahkan untuk turun naik skuter berkenaan.

Penampilannya juga lebih segar. Lampu nyalaan siang LED ada, begitu juga dengan lampu belakang yang diberi sentuhan baru. Kalau anda tak perlu risaukan tentang duit dan tak merasa canggung untuk bayar harga yang dikenakan ini untuk sebuah Vespa, maka tak ada apa yang dapat memadamkan minat anda daripada pilihan itu.

Untuk saya, memang seronok meluangkan masa di atas motosikal ini. Cuma, yang betul-betul mengganggu ialah ruang barangan bawah tempat duduk yang terhad. Berbaloi untuk memiliki skuter ini? Kalau dah memang minat jenama dan tradisi Itali yang ada, silakan, terutama dengan harga baru yang ditawarkan ketika ini berbanding beberapa tahun lalu. Tapi, jika dengan wang sebanyak itu dan anda tidak ingin mencari motosikal dari jenis yang lain, pilihan yang terbentang sangat luas sebenarnya.