BMW M2 Competition dilancar untuk M’sia – RM627k

BMW M2 Competition dilancar untuk M’sia – RM627k

BMW Malaysia hari ini melancarkan M2 Competition, iaitu model terkini untuk model M terkecil mereka, yang telah didedahkan di pentas global April tahun lepas. Harga model prestasi ini adalah RM626,800 tidak termasuk insurans, dan meletakkannya lebih mahal berbanding model M2 LCI yang digantikannya.

M2 Competition dikuasakan oleh enjin enam silinder 3.0 liter S55 sama seperti M3 dan M4, tetapi talaannya dikurangkan sedikit. Ia juga menggunakan dua pengecas turbo, bukannya satu unit twin-scroll bersama teknologi High Precision Injection, angkatan injap boleh ubah Valvetronic serta pemasaan injap boleh ubah Double Vanos.

Ciri baru lain adalah termasuk sistem minyak yang diambil daripada sukan permotoran, sistem penyejukan yang dinaik taraf daripada unit dalam pakej M4 Competition, sistem ekzos dua cabang dengan injap aktif yang boleh memberikan bunyi unik serta penapis habuk untuk menghasilkan emisi lebih baik.

Dengan semua barangan ini, M2 Competition dapat menghasilkan 410 PS antara 5,250 hingga 7,000 rpm dan 550 Nm tork antara 2,350 hingga 5,200 rpm. Ini adalah 40 PS dan 85 Nm tork lebih berkuasa berbanding M2 biasa, dan kuasa disampaikan ke roda belakang melalui transmisi manual enam kelajuan dengan lapik geseran gentian karbon serta fungsi rev-matching yang boleh diaktifkan dengan menutup sistem kawalan kestabilan.

BMW M2 Competition dilancar untuk M’sia – RM627k

Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi M Double Clutch dan Active M Differential, tetapi anda masih boleh mendapatkan unit manual enam kelajuan sekiranya mahu. Bergantung kepada kotak gear yang dipilih, M2 Competition ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat dengan transmisi DCT, dan 4.4 saat dengan kotak gear manual. Memandangkan model yang sampai di negara kita ini tidak mempunyai M Drive Package, laju maksimumnya dihadkan kepada 250 km/j.

Bagi memastikan kereta ini lebih tegap, ia dipasang dengan pendakap gentian karbon daripada M3 dan M4 di bawah bonetnya, seterusnya juga dapat meningkatkan pengendalian. Sistem Dynamic Stability Control turut ditala semula supaya dapat memberikan cengkaman lebih baik atas jalan basah, kawalan lebih memuaskan dan mengurangkan gangguan sewaktu melakukan drift.

Penampilan yang sudah cukup garang pada M2 ditambah lagi bagi model ini, menggunakan gril kidney serta bukaan udara lebih besar di bahagian bawah bampar. Cat warna hitam berkilat digunakan pada gril, sirip tepi serta empat muncung ekzos, dan paling membahagiakan penggemarnya, cermin sisi khas seperti M3 dan M4. Rim adalah unit 19 inci.

Di dalam pula terdapat plet hiasan bertulis M2 Competition di tepi pintu, bersama tempat duduk bucket M Sport yang disediakan sebagai pilihan tambahan. Roda stereng juga mendapat butang seperti M1 dan M2 yang boleh digunakan untuk menyimpan tetapan pelarasan enjin, stereng serta kawalan stabiliti.

Kereta yang menggunakan warna luar Alpine White, Black Sapphire Metallic, Long Beach Blue Metallic atau Hockenheim Silver Metallic akan mendapat bahagian dalam yang mempunyai jahitan kontras warna biru pada kemasan kulitnya manakala kereta yang berwarna Sunset Orange menggunakan jahitan oren.

Kelengkapan lain pada M2 Competition ini adalah termasuk lampu utama LED, pengawal pendingin hawa dua zon, tempat duduk larasan kuasa dengan memori untuk pemandu, BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 8.8 inci dan BMW M Laptimer serta sistem bunyi Harman Kardon 12 pembesar suara.

Dengan harga jualan itu, pembeli juga menerima jaminan lima tahun tanpa had batuan serta program servis percuma, program waranti tayar dua tahun, BMW Roadside Assistance, BMW Service Online dan BMW White Card melalui aplikasi Loyalty+ Mobile

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required