BMW M2 Coupe F87 LCI kini tiba di Malaysia – RM536k

BMW M2 Coupe F87 LCI kini tiba di Malaysia – RM536k

BMW M2 Coupe F87 LCI (atau facelift dalam istilah biasa) kini tiba di Malaysia, dengan perubahan yang tidak begitu ketara. Ia dijual pada harga RM535,800 – sedikit tinggi berbanding model sebelum facelift yang dijual pada RM499k ketika dilancarkan dan naik kepada RM505K pada 2017.

Perubahan yang diterapkan hanya sedikit, memandangkan ini baru memasuki tahun kedua selepas ia diperkenalkan pada penghujung 2015, dan tiba di Malaysia pada Mac 2016. Dua perubahan dilakukan terhadap model facelift ini; lampu utama kini LED sepenuhnya (dari bi-Xenon) dan lampu belakang LED dengan rekaan baru.

Selebihnya kekal sama – prestasi pacuan belakangnya masih memberikan sensasi pemanduan yang sama. Di luar, penggayaan badan yang lebar dan agresif masih ada (malangnya tanpa cermin sisi spesifk bagi BMW M), rim 19-inci dan empat paip ekzos.

Ruang dalaman juga sama, dengan rekaan yang diwarisi dari model 2 Series, dengan kemasan dipertingkatkan untuk membezakannya bagi versi M ini. Stereng sport dengan tiga jahitan, panel instrumen hitam khusus dengan takat meter sehingga 300 km/j dan tempat duduk dengan logo M.

Tambahan terbaru ialah ciri iDrive UI yang dikemaskini dengan live tiles dan skrin sentuh – Apple CarPlay juga ada melalui BMW ConectedDrive Store. Enjin 3.0 liter BMW M enam-silinder sebaris yang melengkapinya menghasilkan 370 hp pada 6,500 rpm dan 465 Nm dari 1,400 rpm hingga 4,750 rpm – dengan fungsi overboost yang akan melonjakkannya ke 500 Nm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui sistem transmisi M DCT tujuh-kelajuan, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat. Suspensi pula menggunakan jenis khas M Sport – lebih keras untuk dinamik pada kelajuan tinggi, tetapi adaptif sepenuhnya untuk memberikan keselesaan. Ciri seperti stereng M Servotronic, brek khas M serta Active M Differential kawalan elektronik juga ada.

Pilihan warna untuk pasaran Malaysia ialah Long Beach Blue, Black Sapphire, Alpine White dan Mineral Grey, dengan kemasan dalaman berwarna Dakota Black sebagai standard. Ia akan dijual pada harga RM535,800 di Semenanjung, RM537,986.50 di Sabah & Sarawak, atau RM331,980 di kawasan bebas cukai.

Dengan BMW Balloon Financing melalui BMW Credit Malaysia, BMW M2 ini boleh dimiliki pada kadar RM6,188 sebulan dengan loan sehingga 80%. Ia hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, serta program jaminan tayar dua tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required