Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

Audi adalah antara pengeluar yang mempunyai pilihan luas model SUV premium, dari Q2 yang paling kecil hinggalah Q8 yang besar dan mempunyai gaya seperti coupe. Walaupun begitu, mereka merasakan ia masih tidak cukup untuk memuaskan pelanggan, dan kini memperkenalkan pula model yang lebih kecil iaitu A1 CityCarver.

Jika anda perasan, model ini tidak menggunakan nama model yang bermula dengan Q, dan masih lagi sebahagian daripada pilihan dalam barisan model A1 hatchback. Hanya gayanya sahaja diambil daripada model SUV, bermula dengan gril “singleframe” yang menggunakan jeriji honeycomb warna hitam matte.

Untuk membezakan kereta ini dengan A1 Sportback biasa, Audi telah mengurangkan jumlah corong udara palsu pada hujung bonetnya daripada tiga menjadi cuma dua. Di hujung bampar juga terdapat bukaan udara (yang sebenarnya tertutup), manakala skid plate hadapan dan belakang dijadikan untuk kelihatan seperti stainless steel.

Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

Anda juga akan mendapat kemasan plastik warna hitam di keliling lengkuk roda serta bahagian tepi, spoiler bumbung daripada model S Line serta jarak dari tanah yang ditinggikan sehingga empat sentimeter. Daripada jumlah ini, 35 mm datang daripada suspensi yang ditinggikan, manakala selebihnya adalah disebabkan penggunaan rim 16 inci. Pembeli juga boleh mendapatkan warna bumbung kontras, sama ada hitam metalik atau kelabu metalik.

Bahagian dalam masih lagi sama seperti A1 Sportback, dengan satu-satunya perubahan adalah pilihan warna untuk kemasan pada pembuka pintu dan tombol gear. Melalui pakej tambahan S Line pula, pembeli diberikan dengan roda stereng yang rata di bawah, serta pilihan kemasan kulit tiruan dan Alcantara.

A1 CityCarver masih lagi menggunakan panel instrumen digital secara standard, manakala paparan Audi Virtual Cockpit Plus disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut disediakan dalam pilihan adalah sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.1 inci, peta HERE dengan Google Earth, informasi langsung trafik dan tempat letak kereta, WiFi hotspot, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Bang & Olufsen 560-watt.

Audi A1 CityCarver – gaya SUV, badan ditinggikan

Pengendalian kenderaan ini juga boleh dijadikan lebih sporty melalui pakej tambahan Dynamic yang termasuk angkup brek warna merah, sistem pilihan mod pemanduan, penyerap adaptif serta actuator bunyi yang memberikan bunyi ekzos lebih garang. Audi masih belum mendedahkan perincian pilihan enjin, tapi ia mungkin sama sahaja seperti A1 Sportback.

Model itu ditawarkan dengan enjin petrol yang termasuk unit tiga silinder 1.0 liter dan empat silinder 1.5 liter dan 2.0 liter, dengan kuasa antara 95 hp hingga 200 hp. Transmisi pula didatangkan dalam pilihan sama ada manual enam kelajuan atau klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan. Model 40 TFSI 200 hp cuma datang dengan transmisi DCT enam kelajuan. Tiada pacuan semua roda untuk model ini.

A1 CityCarver akan dijual di Eropah bermula bulan hadapan dan untuk waktu yang terhad, Audi juga akan menawarkan varian Edition One yang mendapat warna luar sama ada kelabu atau oren, dan datang dengan rim 18 inci, kemasan bahagian dalam hitam berkilat, lampu jenis smoked, bumbung dan cermin sisi warna kontras dan lencana “Edition One”.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required