Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) akan diperluaskan ke Sarawak pula, mulai 24 September ini. Menurut pengarah JPJ Sarawak, JPJeBid akan mula digunakan bagi siri bidaan nombor pendaftaran kenderaan baharu QCK bagi Samarahan dan QS dengan hujung L bagi Sibu dan selepas itu bagi Kuching dan Miri dengan siri nombor pendaftaran kenderaan baharu yang akan diumumkan nanti.

“Orang ramai dan syarikat di negeri ini yang mempunyai rekod di dalam Sistem MySikap dan berminat membida nombor pendaftaran kenderaan baharu terbabit hanya perlu mendaftar di mana-mana cawangan JPJ bagi mendapatkan ID awam yang membolehkan mereka menyertai bidaan sistem itu,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambahnya lagi, bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum ialah RM20,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000 dan bagi nombor menarik pula harga minimumnya adalah RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum RM150,” katanya.

Bagi nombor popular pula, harga minimum ialah RM800 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM40 manakala nombor biasa, harga minimum RM300 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM15.

Projek perintis sistem ini bermula pada dengan siri plat FC untuk Putrajaya, dengan format baharu ini turut diadaptasikan untuk kegunaan Kuala Lumpur dengan VDN pada Jun lalu. Kemudian ia diperkenalkan pula di Kedah dengan siri plat KET pada awal Julai 2019. Selepas itu, ia turut dilaksanakan di Pulau Pinang yang dimulakan dengan siri pendaftaran PPC pada 2 Ogos lalu.