Beberapa hari lepas, panas membahang di kalangan penunggang motosikal apabila seorang aktivis keselamatan jalanraya, Shahrim Tamrin mencadangkan agar kerajaan mengharamkan motosikal kapcai atau yang berkapasiti di bawah 250 cc dari jalanraya di Malaysia. Kenyataan beliau ini telah disiarkan oleh The Malaysian Insight.

Kenyataan Shahrim yang disifat sebagai ‘kurang bijak’ ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penunggang motosikal khususnya pemilik jentera dua roda bawah 250 cc itu, malah turut menerima banyak kecaman daripada netizen. Kami di Paultan.org ada menyuarakan pendirian tegas berhubung perkara ini. (Klik di sini untuk laporan penuh).

Bagi siapa yang tidak mengenali Shahrim, beliau merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah bagi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). Walau bagaimana pun, disebabkan kontroversi ini, MIROS telah mengedarkan kenyataan akhbarnya dengan menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahrim adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili organisasi terbabit.

“MIROS ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang usaha atau dasar kerajaan untuk mengharamkan penggunaan motosikal berkapasiti rendah di bawah 250cc di Malaysia pada ketika ini. Walaupun Shahrim Tamrin adalah ahli lembaga MIROS, namun kenyataan yang dikeluarkannya adalah pandangan peribadi beliau sebagai aktivis keselamatan dan tidak mewakili pandangan rasmi MIROS,” jelas kenyataan tersebut.

MIROS turut menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan mobiliti yang selamat (safe mobility) untuk semua pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal di Malaysia. Di antara dasar dan program mobiliti selamat yang telah dilaksanakan untuk pengguna motosikal ialah termasuk dasar mewajibkan penggunaan lampu hadapan motosikal ketika menunggang (ride bright), pembinaan lorong khas untuk motosikal, advokasi dan penguatkuasaan undang-undang pemakaian topi keledar keselamatan, serta pemakaian penunggangan yang selamat (personal protective safety attire).

Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2018, mencatatkan sejumlah 113,288 kes yang melibatkan motosikal. Walau bagaimana pun, kemalangan yang melibatkan kereta atau kenderaan lain adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 591,399 kes. Cuma, penunggang dan pembonceng mencatatkan peratusan kematian paling tinggi, sekitar 65% daripada keseluruhan kematian yang dicatatkan.

Tetapi ini tidak bermakna kesemua faktor kemalangan atau kematian penunggang dan pembonceng motosikal adalah disebabkan kecuaian golongan ini. Banyak juga kemalangan yang terjadi disebabkan kecuaian pemandu kenderaan lain.

Jadi, adakah cadangan untuk mengharamkan penggunaan motosikal di bawah 250 cc wajar dilaksanakan di Malaysia? Sekali lagi kami ingin menegaskan, perkara ini adalah sangat tidak wajar untuk dilaksanakan. Apa pula pendapat anda? Ada cadangan yang lebih bernas untuk mempertingkatkan lagi aspek keselamatan di kalangan pengguna jalan raya, sila kongsikan bersama kami.