Bagi menaik taraf dan menyelenggara jalan Persekutuan, Kementerian Kerja Raya mengharapkan kerajaan dapat menyediakan peruntukan yang lebih besar dalam Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada 11 Oktober ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir, terdapat banyak aduan mengenai isu Jalan Persekutuan yang masih belum diselesaikan disebabkan oleh kekangan peruntukan.

“Jadi (diharapkan ada) peruntukan tambahan, lebih besar daripada tahun lepas, kerana jalan raya, lebuh raya dan jambatan, rakyat guna tiap-tiap hari, setiap waktu dan perlu ada pembaikan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambahnya lagi, keutamaan untuk kerja-kerja pembaikan itu akan mengambil kira negeri yang mempunyai Jalan Persekutuan yang panjang seperti Pahang, Kedah dan Perak.

Kalau ikutkan peruntukan yang diterima menerusi Bajet 2019 lalu, menterinya Baru Bian berkata, pihaknya hanya menerima antara RM600 juta ke RM800 juta setahun. Sedangkan kos tahunan untuk menyelenggara jalan Persekutuan sekitar RM2 bilion. Justeru, peruntukan untuk penyelenggaraan ini perlu dipertingkatkan pada akan datang.