Selepas Maju Holdings dan RRJ Capital, ini ada satu lagi syarikat konglomerat yang mencuba nasib untuk membeli PLUS Malaysia Berhad. WIDAD Business Group (WBG) telah menawarkan pertimbangan tunai sebanyak RM1.5 bilion atau 51% kepentingan milik Khazanah Nasional Bhd, atau 100% konsesi milik Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai sebanyak RM3 bilion.

Menurut laporan Harian Metro, cadangan pengambilalihan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kerja Raya, dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Oktober 2019.

“Sekiranya Widad berjaya mengambil alih syarikat konsesi, kumpulan itu akan mengurangkan caj tol semasa sebanyak 25% hingga 40%. Ini sejajar dengan manifesto kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat, yang kami sokong sepenuhnya. Kami juga mahu membantu kerajaan dengan mengecualikan bayaran pampasan yang belum dijelaskan kerajaan kepada PLUS bernilai RM338.5 juta setakat 31 Disember 2018, ” kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Menurut Muhammad Ikmal lagi, kedua-dua tawaran itu termasuk melupuskan pampasan tol bernilai RM 2.7 bilion yang ditanggung oleh kerajaan susulan pemansuhan kutipan tol di Plaza Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam. Malahan WGB turut mencadangkan untuk memberi diskaun 50% kadar tol semasa pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali sepanjang tempoh yang difikirkan sesuai.

Dalam masa yang sama, syarikat itu akan berusaha untuk menaik taraf kemudahan sedia ada, melaksanakan teknologi risikan buatan bagi meningkatkan pengurusan lebuh raya dan lalu lintas, selain jaminan tiada sebarang pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan itu.

Untuk tujuan berkenaan, pihaknya telah mengenal pasti rakan/pelabur strategik global bagi membiayai pengambilalihan yang dicadangkan itu, selain dana dalaman kumpulan dan pelan pengumpulan dana melalui sukuk berjangka sederhana dan terbitan ekuiti.

Buat setakat ini, Khazanah masih teguh dengan pendirian mereka untuk tidak menjual aset syarikat konsesi tersebut kepada mana-mana pihak. Berlainan pula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun Dr Mahathir yang berkata, kerajaan bersedia untuk mengkaji secara mendalam mengenai penjualan PLUS.

“Penghapusan segera tol tidak boleh dilakukan kerana ia memerlukan pembelian oleh kerajaan. Ini berdasarkan dapatan satu kajian mendalam yang dilakukan mengenai perkara itu. Tetapi menurunkan bayaran tol boleh dipikul. Jika ada (pihak) swasta yang (mengutarakan cadangan) akan kurangkan tol, cadangan mereka boleh dipertimbang,” katanya baru-baru ini.