Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

Pentas pameran utama Toyota ketika hari pembukaan Tokyo Motorshow 2019 (TMS) tidak dihiasi oleh model-model produksi sebenar atau konsep radikal yang menggamit perhatian seperti tahun-tahun sebelumnya. Sebaliknya, tahun ini ruang berkenaan digunakan untuk membuat satu pernyataan baru oleh syarikat itu; Toyota dalam peralihan sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan (car company) kepada sebuah syarikat mobiliti untuk masa hadapan (mobility company).

Perkara berkenaan juga boleh didengari dengan sangat jelas melalui ucapan utama oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda sendiri ketika sesi yang sama. Tiada Toyota Mirai Concept dipamerkan di sekitar ruang pameran utama, begitu juga tiada Toyota Yaris pasaran Jepun dan Eropah – yang diumumkan seminggu sebelum TMS2019 – kelihatan di situ, sebagai contoh. Kedua-dua model berkenaan dipamerkan dibangunan berseberangan dewan, di Toyota Megaweb – dan bagi kes Yaris, di pusat beli-belah bersebelahan.

Jadi apa yang ada di pentas utama? Bintang paling besar tahun ini ialah e-Palette, yang diperkenalkan oleh Akio sendiri. Ini dituruti oleh beberapa lagi kenderaan mobiliti BEV (battery electric vehicle) lain menjadi taruhan atau pernyataan yang ingin disampaikan tahun ini.

Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

Lebih menarik, semua ini bukan hanya rekaan konsep yang jauh daripada menjadi kenyataan; banyak juga yang kini telah bersedia untuk mempamerkan teknologi elektrifikasi lanjutan jenama itu, dengan sebahagiand daripadanya akan membuat penampilan sulung dan digunakan secara nyata sepanjang tempoh berlangsungnya acara Olimpik 2020 yang menyaksikan Jepun sebagai tuan rumah – kali terakhir negara ini menjadi hos Olimpik ialah pada 1964.

Antara yang akan sudah bersedia untuk berkhidmat untuk Olimpik 2020 ialah e-Palette, sebuah “bas” kecil yang bertujuan untuk memudahkan pergerakan – terutamanya yang berkerusi roda – dan akan digunakan di dalam kawasan perkampungan kediaman atlit sepanjang tempoh acara berkenaan. Kenderaan elektrik sepenuhnya ini mampu untuk memuatkan seramai 20 orang penumpang – atau empat yang berkerusi roda dengan tujuh penumpang berdiri – dan bergerak secara autonomous Tahap 4 dengan kelajuan 20 km/j.

e-Palette mempunyai ukuran dimensi 5,255 mm panjang, 2,065 mm lebar, 2,760 mm tinggi dan 4,000 mm untuk jarak antara roda. Seperti dinyatakan Akio, untuk masa hadapan, Toyota membayangkan kenderaan ini nanti boleh juga digunakan sebagai pejabat, kedai bahkan hotel. Semua barisan kenderaan BEV oleh Toyota untuk masa hadapan ini, dengan tema “Mobility For All”, direka untuk memudahkan pergerakan golongan yang memerlukan, misalnya OKU atau warga emas.

Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

Satu lagi rekaan Toyota dengan fungsi yang sama ialah Accessible People Mover (APM). Tidak lupa juga Toyota Sora, sebuah bas yang menggunakan teknologi hidrogen fuel cell. Menjelang Olimpik 2020, 100 unit bas ini akan mula digunakan di dalam kawasan metropolitan Tokyo. Ia menggunakan teknologi FCV yang sama seperti pada Toyota Mirai. Sora mampu memuatkan 79 orang dalam satu masa, dan dilengkapi dengan dua FC Stack, membekalkan kapasiti volume power density sebanyak 3.1 kW/L dan output maksimum 155 PS x 2.

Lain-lain kemudahan yang menggunakan kepintaran buatan (artificial intelligence) yang turut akan digunakan ketika Olimpik nanti ialah Field Support Robot (FSR). Robot ini akan digunakan di dalam padang dan balapan, misalnya bagi acara lembar lembing atau lontar peluru, dan berfungsi untuk membawa alatan terlibat (lembing/cakera/peluru) dari tengah padang ke titik mula tanpa sebarang kawalan.

Ia menggunakan kamera dan AI untuk mengesan manusia (petugas dalam padang) dan akan mengikut jejak ke arah lokasi akhir lontaran. Petugas bagaimana pun perlu mengangkat beban berkenaan dan diletakkan di dalamnya – berat maksimum yang boleh ditanggung ialah 16 kg – sebelum bergerak sendiri ke pos mula untuk memulangkan lembung atau cakera yang dibawa. Ia mampu bergerak dengan jarak maksimum 20 km, sebelum baterinya perlu ditukar kepada yang baru, dan bateri lama dicas sementara menunggu giliran digunakan semula.

Tokyo 2019: Toyota pamer visi EV masa hadapan – e-Palette, Sora, FSR bakal diguna ketika Olimpik 2020

Ada satu lagi aplikasi yang sama untuk kegunaan dalam rumah dikenali sebagai Human Support Robot (HSR). Berbeza dengan FSR, HSR ini mempunya satu lengan dan “wajah” sendiri untuk mewakili imej manusia. Ia mempunyai kamera yang bertindak sebagai mata, serta skrin untuk memaparkan apa yang dilihatnya serta dilengkapi sensor laser jarak untuk membolehkannya bergerak dan mengesan jarak serta hadangan. Menurut Toyota, ini antara rekaan yang dibangunkan agar kemudiannya boleh digunakan untuk membantu warga emas atau OKU dalam urusan di rumah.

Selain itu, terdapat satu lagi visi yang turut dipamerkan juga, kali ini dengan semangat lumba dan sukan permotoran, melalui sebuah kenderaan yang diberi nama e-Racer. Rekaan ini adalah anti-tesis kepada rekaan e-Pallette. Sekiranya model “bas” berkenaan direka untuk dikongsi bersama, e-Racer ini adalah untuk kegunaan dan pemilikan individu yang dibayangkan untuk masa hadapan. Seperti yang dikatakan Akio sendiri; “Kereta sport yang akan berada di dalam garaj kebanyakan orang, seperti e-Racer ini.”

Toyota e-Palete

Toyota e-Racer

Toyota FSR, Sora dan e-4me

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required