Serentak dengan pendedahan Honda City generasi baharu di Thailand hari ini, Honda Thailand turut mengumumkan kit aksesori Modulo yang boleh dibeli oleh pemilik model baharu berkenaan.

Antara komponen Modulo tersebut adalah terdiri dari spoiler belakang jenis sayap (hanya lid spoiler pada City RS) berharga 8,150 baht (RM1.1k), set pedal aloi sport berharga 1,300 baht (RM180), kemasan bendul pintu dengan lampu LED berharga 4,400 baht (RM608), rim sport aloi 15-inci (tidak termasuk tayar) berharga 3,600 baht (RM497) seunit, lampu kabus LED berharga 5,500 baht (RM760) dan juga perakam video hadapan (dashcam) berharga 3,850 baht (RM532).

Honda Thailand juga menawarkan kit badan penuh Modulo untuk City Turbo tersebut yang ditawarkan dalam tiga pakej. Pakej pertama dan kedua digelar Modulo Aero Package dan Modulo Aero RS Packege yang terdiri dari sepasang spoiler bawah untuk bampar hadapan dan belakang dan juga skirt sisi, dijual pada harga masing-masing 15,500 baht dan 17,900 baht.

Pakej ketiga pula digelar Modulo Aero Sport Package, diberikan komponen-komponen yang sama tetapi ditambah dengan spoiler belakang, dijual pada harga 23,500 baht.

Honda City generasi baharu ini dipasarkan di Thailand dalam empat varian berbeza iaitu City S berharga 579,500 baht (RM80k), City V berharga 609,000 baht (RM84k, City SV berharga 665,000 baht (RM92k) dan City RS berharga 739,000 baht (RM102k).

Ia tidak lagi dijana oleh enjin 1.5 liter NA seperti model sebelumnya, tetapi menerima enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo 122 PS dan tork maksima 173Nm. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

GALERI: Honda City Turbo 2020 pasaran Thailand