Setelah Thailand, kini Indonesia pula menerima model naked retro XSR155. Ia dilancarkan pada harga bermula 36.27 juta Rupiah (RM10,783) dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan perak. Kalau dibandingkan dengan model Yamaha lain di sana, harga XSR155 ini adalah lebih mahal berbanding R15 (36.075 juta Rupiah/RM10,726) dan NVX155 (27.81 juta Rupiah/RM8,269).

Spesifikasi XSR155 pasaran Indonesia ini masih sama dengan model yang diperkenalkan di Thailand, dikuasakan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC VVA, bersama padanan kotak gear enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm.

Walaupun menggunakan gaya retro ringkas, motosikal ini masih dilengkapi dengan barangan moden seperti lampu LED depan dan belakang, serta panel meter digital penuh yang berbentuk bulat. Berat keseluruhan adalah 134 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 10.4 liter.

Rim yang dipasang pada XSR155 adalah unit 17 inci, dibalut dengan tayar pelbagai guna bersaiz 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang. Suspensi pula menggunakan fork teleskopik dan monoshock, manakala brek kedua-dua bahagian adalah unit cakera. Tiada tanda motosikal ini dilengkapi dengan ABS.

Selain daripada keadaan asal, Yamaha Indonesia juga menyediakan pilihan pelbagai aksesori untuk motosikal ini, yang boleh menjadikannya lebih menarik dan sesuai dengan pengguna, seperti pakej Tracker dan Sport Heritage.