Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

Selepas A5 dan S5 2020 diperkenalkan September lalu, Audi memperkenalkan pula versi prestasi RS5 Coupe dan Sportback, yang menjadikan barisan model tersebut lengkap. Ia masih dikuasakan oleh enjin V6 TSI 2.9 liter twin turbo yang sama, dengan kuasa 450 PS dan 600 Nm untuk memberi pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan laju maksimum 280 km/j.

Kuasa disampaikan kepada semua roda melalui kotak gear automatik lapan kelajuan khas RS, dan ditala untuk memberikan penukaran gear yang lebih pantas dan agresif. Pedal penukar gear di belakang stereng juga sekarang dijadikan lebih besar. Untuk gandar belakang, pemilik boleh mendapatkan differential jenis sport, yang boleh mengagihkan tork antara tayar secara aktif.

Kedua-dua RS5 Coupe dan Sportback mendapat suspensi sport RS secara standard, sementara Dynamic Ride Control (DRC) dengan penstabil roll dan pitch hidraulik ditawarkan sebagai pilihan tambahan. Suspensi DRC ini boleh dilaras pada tiga tahap, dan mempunyai injap yang mengawal minyak dalam penyerap, sekaligus boleh mengubah karekter kawalan kereta.

Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

Audi Drive Select disediakan secara standard dan datang dalam dua mod iaitu RS1 dan RS2. Melaluinya, pemandu boleh melaras sendiri tindak balas enjin, transmisi, penyerap, stereng, differential serta bunyi enjin mengikut tahap yang dimahukan.

Melihat kepada rekaan, bahagian luar jelas menggunakan asas daripada A5 dan S5 facelift, dengan menampilkan grafik DRL LED baru pada lampu utama jenis LED (LED matrix dengan lampu laser disediakan sebagai pilihan tambahan dan khas untuk RS5 sahaja), gril Singleframe lebih pendek serta bukaan udara yang berbentuk unik.

Diffuser belakang juga telah direka semula dengan kini menggunakan corak honeycomb, berbanding bentuk sirip ringkas sebelum ini. Barangan tambahan lain adalah termasuk bumbung gentian karbon yang mengurangkan berat kenderaan sebanyak empat kilogram, dan rim 19 inci yang datang secara standard.

Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

Untuk meningkatkan lagi penampilannya, pelanggan diberi pilihan rim 20 inci yang boleh didapati dalam tiga rekaan, warna angkup brek kelabu atau biru (standard adalah hitam atau merah) serta cakera brek hadapan jenis karbon seramik. Selain daripada itu, terdapat juga pilihan pakej kemasan hitam berkilat, aluminium matte serta karbon.

Pada bahagian dalam, peningkatan paling jelas adalah skrin sesentuh MMi 10.1 inci dengan maklum balas akustik, yang dipusingkan sedikit untuk menghadap pemandu. Ia boleh dinaik taraf kepada unit MMI Navigation Plus, yang menampilkan sistem operasi MIB 3 terbaru syarikat itu, dan mempunyai skrin khas RS dengan tambahan paparan data pemanduan lain.

Di hadapan pemandu, terdapat Audi Virtual Cockpit 12.3 inci baru tetapi pemilik mungkin mahu menaik taraf kepada Audi Virtual Cockpit Plus dengan beberapa paparan lain serta grafik khas untuk model RS. Head-up display yang disediakan sebagai pilihan tambahan juga datang dengan grafik RS.

Audi RS5 Coupe dan Sportback facelift 2020 – 450 hp

Pada bahagian lain, kebanyakannya adalah sama seperti sebelum ini, dengan papan pemuka serta corong pendingin hawa yang dikekalkan. Walaubagaimanapun, seperti A4 facelift, rekaan konsol tengah adalah baru dan tombol pemilih bulat yang diletakkan depan tombol gear sebelum ini diganti dengan ruang barangan kecil.

Tempat duduk sport model RS ini dibalut dengan gabungan kulit dan Alcantara secara standard, tetapi pemilik masih boleh memilih kulit Nappa sekiranya mahu. Selain daripada itu, Audi juga ada menyediakan pakej dengan kemasan merah atau kelabu. Untuk sistem bantuan pemandu, ia sama sahaja dengan A5 dan S5. Harganya di Eropah adalah 83,500 euro (RM386k).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required