PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

Tuan-tuan dan puan-puan, ini adalah Mazda 3 hatchback (Mazda menggelarnya sebagai liftback) generasi baharu, kereta yang mungkin ditunggu-tunggu oleh pemilik generasi sebelum ini, menampilkan rupa yang agak kontroversi – ada yang kata seksi, ada yang kata pelik – tetapi rata-rata bersetuju, ia dijual pada harga yang terlalu mahal.

Mazda 3 generasi keempat ini didedahkan secara rasmi untuk peringkat global di Amerika Syarikat pada November tahun lalu. Ia kemudian diperkenalkan di Eropah pada Februari tahun ini. Kita tidak perlu menunggu lama untuk menerimanya kerana Bermaz telah melancarkan Mazda 3 2019 berkenaan untuk pasaran Malaysia pada Julai lalu.

Tidak seperti Honda dan Toyota yang terlalu berkira-kira untuk membawa Civic dan Corolla Hatchback ke pasaran tempatan, Mazda seperti lazimnya memberikan pilihan kedua-dua bentuk badan sedan dan hatchback untuk pembeli di Malaysia – kesemuanya adalah diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU).

Secara asasnya, kita menerima Mazda 3 2019 sedan dan hatchback dengan pilihan enjin 1.5L dan 2.0L, dibahagikan dalam tiga varian. Tiga varian berkenaan adalah versi asas, versi pertengahan High, dan versi tertinggi High Plus. Namun untuk model High, ia hanya dijual dalam versi sedan.

PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

Di Malaysia, anda boleh membeli Mazda 3 yang paling asas dengan harga RM139,620, iaitu model sedan 1.5 – atau hampir RM11k lebih mahal dari Honda Civic spesifikasi tertinggi 1.5TC Premium, dengan enjin 53 hp/67 Nm jauh lebih berkuasa. Manakala model saya pandu uji ini adalah versi tertinggi Liftback 2.0L High Plus yang berharga RM 160,059.00 atau anda boleh dapat sebuah sedan segmen-D untuk harga seperti ini.

Ini baru model yang dijana oleh enjin 2.0L NA SkyActiv-G yang diambil dari model generasi sebelum ini, belum lagi enjin terbaharu Mazda SkyActiv-X seperti yang diterima pada pasaran Jepun dan Eropah. Namun untuk pengetahuan anda, harga ‘luar dugaan’ yang diberi oleh Mazda ini bukan hanya di Malaysia, malah ia sebenarnya bersifat global.

Dan Mazda pula kini lebih gemar untuk membandingkan model terbaharu ini dengan Mercedes-Benz A-Class, dan bukan lagi dengan dengan jenama-jenama Asia lain, kerana menurut mereka Mazda 3 sudah berada dalam segmen premium. Betul ke premium sangat Mazda 3 ni? Mari ikut saya tinjau bersama-sama.

Antara pelik dan cantik, saya pilih untuk menyukai rekaan luaran Mazda 3 liftback baharu ini. Ya, ia nampak janggal jika dilihat dari sudut rendah, tetapi jika dilihat dari sudut tinggi dan berada pada kedudukan bucu hadapannya, Mazda 3 hatchback ini kelihatan begitu mendebarkan.

PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

Lebar model generasi baharu ini walaupun sama dengan versi generasi ketiga, ia kelihatan jauh lebar kerana bumbungnya yang jauh lebih rendah (1,435 mm berbanding 1,450 mm model sebelumnya). Ditambah dengan ruang roda yang besar bersama rim 18-inci, sisi badan dengan permukaan yang ‘sangat bersih’, lampu hadapan dan belakang yang nipis, serta gril hadapan dengan mulut yang cukup besar, Mazda 3 hatchback ini seakan kereta konsep atau dijelmakan terus dari lakaran awalan.

Warna merah pada badan kereta dinamakan sebagai Soul Red Crystal, iaitu versi yang ditambah baik dari warna yang dihasilkan dengan teknik empat lapisan istimewa Soul Red sebelum ini. Merah berkenaan bukan sahaja menyerlahkan lagi badan kereta yang direka dengan falsafah Kodo Soul of Motion Mazda 3 ini, malah ia kelihatan begitu berkilat seperti gula-gula – kalau tengah hari bulan puasa, mungkin anda akan rasa seperti ada gula-gula strawberi di tekak apabila terpandang warna tersebut.

Duduk kerusi pemandu, anda mungkin akan bersetuju dengan apa yang didakwa oleh Mazda berkenaan status segmennya sekarang. Dari rekaan papan pemuka sahaja, ia sudah cukup berbeza dengan saingan senegarannya yang lain. Ketika pengeluar lain kini dilihat menampilkan rekaan seakan kapal angkasa, Mazda pula cuba untuk menjadi se’classy’ yang boleh.

Pada papan meter, ia masih mengekalkan tiga lingkaran untuk tolok-tolok utama – takometer pada sebelah kanan, meter bahan api berkongsi ruang dengan tolok suhu bendalir penyejuk enjin di sebelah kiri. Manakala di tengah adalah meter kelalajuan – nampak seperti speedometer analog, tetapi ia sebenarnya adalah unit digital warna-penuh TFT-LCD tujuh-inci, yang akan turut memberikan pelbagai informasi lain seperti sistem bantuan pemanduan dan sebagainya.

PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

Tidak cukup dengan itu, pemandu turut akan dibantu dengan paparan head-up yang sangat jelas dipancarkan ke cermin hadapan, juga memberikan bacaan speedometer dan juga informasi-informasi lain kepada pemandu tanpa perlu pandangan mata dialihkan.

Skrin utama untuk sistem infotainmen kereta ini tidak ‘ditanam’ ke dalam papan pemuka, sebaliknya ia berdiri sendiri pada bahagian tengah. Kalau anda nak tahu, model-model baharu Mazda kini tidak lagi mempunyai skrin sesentuh atas sebab keselamatan.

Menurut Mazda, sekiranya pemandu membongkok badan sedikit kehadapan bagi mengoperasikan skrin sesentuh berkenaan, ada risiko untuk mereka tertolak roda stereng ke kiri atau ke kanan, dan mungkin akan menyebabkan kemalangan. Penyelesaiannya, sistem infotaimen MZD Connect Mazda dibekalkan dengan suis kawalan putar yang digelar Commander Control.

Kawalan berkenaan sememangnya sangat mudah digunakan dan anda boleh mengoperasikannya tanpa menggerakkan badan, atau melihatnya. Tambahan pula untuk sistem baharu ini turut diberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, saya sendiri rasa ia benar-benar memudahkan.

Kalau anda perasan satu lagi perkara, bahagian tengah papan pemuka Mazda ini juga sedikit pelik. Ini kerana ia tidak mempunyai liang untuk pendingin hawa – pamandu akan menerima angin nyaman dari sepasang corong mengapit panel meter, penumpang hadapan pula dari sepasang corong di atas glove box, manakala penumpang belakang menerima corong sendiri dihujung konsol terowong.

Bahagian yang lazimnya terletak corong berkenaan diletakkan dengan paparan digital sistem pendingin hawa, manakala suis-suis kawalannya pula diletakkan seakan papan kekunci piano.

Ketika duduk di tempat duduk pemandu ini juga, satu perkara lagi yang saya perasan – pemandu dikelilingi dengan panel-panel yang diperbuat dari material sentuhan-lembut – siku anda akan rasa ‘tenggelam’ bukan sahaja pada perehat tangan sebelah tengah, tetapi anda akan mendapat rasa yang sama pada siku kanan kerana pemegang pintu dibalut dengan kulit yang begitu lembut.

Seperti yang disebutkan tadi, model varian tertinggi untuk pasaran Malaysia ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter SkyActiv-G tanpa bantuan turbo. Dengan nisbah mampatan setinggi 14:1, enjin NA ini mampu menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada 4,000 rpm. Padanan kotak gear juga masih sama iaitu transmisi enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive.

Jadi dengan kuasa tidak setinggi Honda Civic Turbo, adakah memandu Mazda 3 ini adalah aktiviti yang membosankan? Dia macam ni tuan-tuan, definasi ‘seronok’ dalam kamus memandu itu bukan sekadar berkenaan letusan boost pada rpm rendah semata-mata. Dapat memerah sebuah enjin NA dalam rpm tinggi juga akan mendatangkan ‘berahi’ dalam liga lain.

Ya, memang Mazda 3 ini tidak dapat memberikan anda efek ‘melekat’ ke tempat duduk pemandu setiap kali menekan pedal pendikit secara agresif. Tetapi respon kuasa yang diberikan enjin ini sebenarnya lebih rasional – ia tidak akan memberikan perasaan sentiasa mahu terburu-buru kepada pemandu. Namun, setakat mahukan kelajuan sekitar 200 km/j di lebuhraya, ia bukan satu beban untuk Mazda 3 ini.

Kalau anda tengok angka kuasa enjin ini secara rasional, ia juga sebenarnya jauh lebih cukup untuk sebuah kereta penumpang – hanya kurang 9 hp kurang dari Civic Turbo, dan 25 hp lebih berkuasa dari Toyota Corolla Altis 2019. Setakat beza sikit je dengan Civic, tak terasa sangat pun sebenarnya. Kita pun bukan main time attack di litar pakai kereta ni kan?

Walaupun kotak gear pada model generasi baharu ini masih sama seperti sebelum ini, Mazda sebenarnya telah memberikan talaan baharu kepadanya. Ini membuatkan tindak balas transmisi tersebut jauh lebih pantas dari sebelum ini – tukaran gearnya menjadi lebih laju, dan mod manual juga memberikan tukaran terus setiap kali anda tangan anda menarik pedal +/- penukar gear.

PANDU UJI: Mazda 3 2019 – bukan mahal saja-saja

Walau bagaimanapun, ia tidaklah selaju kotak gear kereta-kereta premium Eropah seperti transmisi 9G-Tronic Mercedes-Benz, dan ia masih jelas terasa seperti sebuah kotak gear automatik konvensional.

Mazda 3 ini masih menggunakan konfigurasi topang McPherson pada sebelah depan. Tetapi untuk bahagian belakang, ia seakan downgrade kerana telah beralih dari sistem multilink kepada torsion beam. Tapi, apa sebenarnya alasan Mazda dalam mengubah konfigurasi suspensi ini?

Mazda menyatakan bahawa penukaran sistem tersebut adalah semata-mata untuk meningkatkan kadar NVH kereta ini, dan torsion beam yang mereka gunakan adalah tidak sama dengan sistem sebelumnya. Ini sebenarnya mengingatkan saya terhadap Mazda 3 generasi sebelum ini, yang menampilkan suspensi yang begitu sedap di layan meredah selekoh dengan kelajuan tinggi, tetapi ia sangat tidak selesa untuk penumpang.

Menurut Mazda, dengan sistem multilink ia sememangnya akan memberikan pengendalian yang lebih baik. Tetapi dengan terlalu banyak komponen yang bergerak, ia akan menyebabkan getaran dipindahkan ke badan. Torsion beam pula adalah lebih ringkas, memudahkan ia ditala untuk memberikan keselesaan dalam pelbagai permukaan jalan.

Hasilnya memang dapat saya rasakan ketika memandu uji kereta ini. Tahap keseimbangannya antara prestasi dan keselesaan dapat diangkat lebih tinggi – ia masih menampilkan olengan badan yang cukup minimal ketika mengambil selekoh dengan laju, dalam masa yang sama masih memberikan tahap keselesaan tinggi – dengan standard menghampiri kereta-kereta Eropah.

Namun ‘kehilangan’ sistem multilink pada kereta ini amat dirasakan. Sebenarnya sebelum mengambil kereta ini, saya sedaya upaya untuk tidak skeptikal terhadap torsion beam tersebut kerana ada kereta yang menggunakan sistem ini tetapi masih memberikan karekter pengendalian yang mengujakan, Honda CR-Z misalnya.

Berbanding model sebelumnya, Mazda 3 baharu ini menampilkan karekter pengendalian yang kurang tajam. Cengkaman untuk tayar hadapan masih lagi kekal baik, tetapi bahagian belakang terasa ‘bisu’. Terasa kurang ‘drama’ ketika mengambil selekoh kerana ia bersifat terlalu melekat dan terlalu neutral.

Walau bagaimanapun, harus saya akui, keselesaan dan ‘rasa premium’ pada Mazda 3 ini telah jauh meninggalkan tahap model generasi sebelumnya – bukan sahaja dengan suspensi yang lebih lebih selesa, malah kabinnya juga jauh lebih senyap. Dan harga yang ditawarkan oleh Bermaz ini sebenarnya adalah setimpal dengan apa yang anda akan rasa menerusinya.

Kesemua faktor ini sebenarnya bukan hanya disumbangkan oleh material-material premium yang digunakan, ia juga melibatkan R&D casis SkyActiv itu sendiri. Nak makan nasi lemak lauk sotong, tapi nak bayar macam lauk telur mata, macam mana peniaga tu nak meniaga lagi esoknya kan?

Bukan setakat premium pada rasa, Mazda 3 2019 ini turut tampil dengan kelengkapan keselamatan antara yang tertinggi dalam kelasnya. Ia hadir dengan sistem G-Ventoring Control dan juga fungsi keselamatan penuh Mazda i-Activsense yang terdiri dari Sistem Lampu Hadapan Adaptif (AFS), Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Sistem Amaran Keluar Lorong (LDWS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) dan buat pertama kali Bermaz manawarkan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

Ciri keselamatan asas lain turut diberikan standard untuk semua varian seperti brek ABS bersama EBD dan EBA, bantuan mula mendaki (HLA), Kawalan Dinamik Kestabilan (DSC) dan tujuh beg-udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu).

Untuk mengetahui dengan lengkap spesifikasi Mazda 3 ini termasuk kesemua varian lain, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI. Dan anda boleh membuat perbandingan spesifikasi berbanding saingan-saingan terdekatnya menggunakan laman Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required