Memang Honda CR-V 2017 menjadi antara tarikan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017 diruang Honda. Tetapi, ada satu lagi model yang tak kalah menarik; Honda Civic Hatchback 1.5L Turbo, yang dilancarkan awal bulan ini untuk pasaran Thailand.

Ini versi lima-pintu bagi Civic FC, dan dijual di Thailand dalam varian tunggal 1.5L Turbo CVT pada harga 1.169 juta baht (RM149,620). Enjin L15B7 empat-silinder turbo ini menghasilkan 173 PS pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork dari 1,700 rpm hingga 5,500 rpm. Tidak seperti di Amerika Utara dan Eropah, kotak gear manual enam-kelajuan tidak ditawarkan.

Penggayaan versi hatchback ini berlainan dari sedan dari aspek rekaan bampar depan dan belakang yang nampak lebih lebar dan besar, antaranya disebabkan untuk menempatkan lampu kabus. Sementara itu, bahagian belakangnya yang lebih pendek menempatkan spoiler dan lampu bentuk C yang sama.

Dari segi dimensi, versi hatchback ini berkongsi lebar (1,798 mm) dan jarak roda (2,700 mm) yang sama dengan versi sedan. Bagaimanapun, ia lebih tinggi (+20 mm) dan pendek (-112 mm). Ruang penumpang belakang juga mungkin sedikit terkesan, kerana ingin memberikan keluasan pada ruang kargo; 727 liter dengan tempat duduk belakang tidak dilipat, berbanding ruang but 519 liter pada model sedan. Tayar ganti terletak di bawah lantai but berkenaan.

Kelengkapan standardnya termasuk rim aloi 17 inci (dengan tayar 215/50), lampu utama, DRL, lampu kabus dari jenis LED, pendingin hawa dwi-zon, panel instrumen digital, skrin sentuh tujuh-inci (dengan Apple Carplay dan Android Auto), paddle shifter, stereng dengan butang pelbagai fungsi dan kemasan upholstery kulit hitam.

Turut tersedia ialah masukan pintar tanpa kunci dan butang Push Start, remote engine start, cruise control, auto brake hold, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40, kamera undur dan kerusi depan kuasa elektrik. Dari sudut keselamatan, ia di datangkan dengan enam beg udara, VSA dan Hill Start Assist.

Warna khasnya ialah Black Burgundy Night Pearl, ditawarkan sebagai pilihan dengan tambahan 6,000 baht. Warna lain yang turut ditawarkan ialah Crystal Black Pearl (pilihan dengan tambahan 6,000 baht juga) serta Orchid White Pearl yang dilihat dalam gambar pula sebagai pilihan dengan tambahan 10,000 baht.

Jangan lupa juga untuk menonton iklan yang dikeluarkan sebelum ini, yang turut menampilkan Volkswagen Scirocco. Macam mana, nampak menarik? Dan, mahukan model ini untuk masuk ke pasaran Malaysia?