Bagi mengurangkan beban pengguna, Shell Malaysia telah mengumumkan tiada caj ekstra sebanyak 50 sen dikenakan untuk setiap tambah nilai kad Touch ‘ Go (TnG) di 27 buah stesen minyaknya di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan mulai hari ini, 16 Januari.

“Shell memahami cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan kenaikan kos sara hidup. Dengan cara sebeginilah kami dapat membantu rakyat Malaysia dalam penjimatan. Di samping itu, ia dapat mengurangkan kerisauan para pelanggan kami bila dalam perjalanan atau mengisi minyak di stesen Shell,” ujar Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading dan Shell Timur, Shairan Huzani Husain.

Shell turut memaklumkan, kempen “Nak Ekstra RM20,000” yang telah berlangsung sejak 1 Disember 2019 hingga 9 Februari ini, turut menawarkan rakyat Malaysia hadiah utama mingguan bernilai RM20,000 dan 20 hadiah saguhati bernilai RM1,000 setiap minggu. Setiap kali berbelanja sebanyak RM40 bagi bahan api, minyak pelincir dan juga produk Shell Select melayakkan pelanggan untuk menyertainya.

Selain daripada insiatif Shell, pengguna juga boleh menikmati kadar yuran-sifar bagi tambah nilai TnG daripada beberapa pengendali di banyak lokasi terpilih di seluruh negara, yang boleh diakses menerusi aplikasi navigasi Waze.