Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

Pasukan Mellors Elliot Motorsport dari Bakewell, England mengesahkan mereka akan menyertai musim penuh Kejuraan Rali British (BRC) 2020 dengan jentera yang mereka bangunkan, Proton Iriz R5. Kali terakhir MEM menyertai siri berkenaan adalah pada tahun 2016 dengan sebuah lagi jentera Proton iaitu Satria Neo S2000.

Iriz R5 MEM ini masih akan dipandu oleh pelumba yang sama mengendalikan Satria Neo S2000 sebelum ini, iaitu Oliver Mellors, anak kepada pengarah dan pengasas pasukan tersebut, Chris Mellors.

“Sebagai pasukan dan pemandu, kami gembira untuk kembali ke Kejuaraan Rali British dengan jenama Proton. Ada warisan sejarah dan hubungan yang banyak antara jenama dengan kejuaraan ini, walaupun jika kita lihat ketika era 2WD (Satria kit car) pada tahun 2000 dan kami rasakan ini adalah tempat yang betul untuk kereta ini. Pertandingan akan menjadi hebat dan sangat sengit walaupun sekiranya hanya separuh dari pencabar yang dikhabarkan akan muncul. Itu yang kami perlukan untuk Iriz R5 dan saya tak sabar mahu lihat bagaimana prestasinya berbanding yang lain,” kata Oliver.

Ketika musim 2016, keputusan terbaik yang mampu diraih oleh Oliver hanya berada di tempat keempat pada pusingan di Circuit of Ireland National kerana ketika itu pesaing lain mula beralih menggunakan jentera dengan spesifikasi R5. Musim tahun ini merupakan peluang terbaik untuknya bersama juru arah, Ian Windress bagi mencapai kejayaan pertama.

Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

“Segalanya telah kami buat dengan Proton sejak bermula dengan konsep pada 2017 meningkat dengan pesat dari segi perkembangan,” kata Chris pula.

“Kami berbangga untuk menjadi satu-satunya pengeluar yang menawarkan (jentera R5) versi pemanduan sebelah kiri dan kanan dan membuka peluang yang banyak di seluruh dunia. Bukan itu sahaja, kami juga telah memastikan setiap langkah, kami mempunyai pemandu yang berpengalaman di sebalik kereta bagi memperolehi data dan memastikan pembangunan kami menuju kearah yang betul.

“Kami rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk melancarkan Iriz dalam kejuaraan British, yang mana kami sentiasa melihatnya sebagai sebahagian perkembangan selanjutnya untuk kereta ini. Ini hanyalah permulaan,” tambah Chris lagi.

Hubungan MEM dan Proton telah bermula seawal tahun 2002, apabila pasukan berkenaan menyediakan Proton PERT Evo VI untuk pelumba negara, Karamjit Singh bagi membolehkan mereka bergelar juara dunia WRC kategori Group N (PWRC) pada tahun berkenaan hanya dengan percubaan pertama.

MEM dan Proton sekali lagi kembali ke WRC pada tahun 2012 dalam kategori WRC2 dengan Satria Neo S2000, membolehkan pemandu Sweden, Per-Gunnar Andersson menjadi juara Rali Sweden dan Finland seterusnya menjadi naib juara dalam kategorinya pada musim berkenaan.

Proton Iriz R5 ini dibangunkan oleh MEM sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11 yang hampir sama dengan enjin Mitsubishi Lancer Evo X (juga asas untuk enjin Proton Inspira) yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5, digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun lalu bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin 4B11, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

Proton MEM sahkan penyertaan musim penuh Iriz R5, Olie Mellors dalam Kejuaraan Rali British (BRC) 2020

Disember lalu, jentera ini sekali lagi telah diuji oleh juara dunia WRC dua-kali dari Finland, Marcus Grönholm, dan beliau sendiri menyatakan bahawa Iriz R5 sudah bersedia untuk bertarung di SS WRC.

Manakala pada bulan ini, Iriz R5 telah di bawa oleh MEM ke Autosport International Show 2020 yang diadakan di National Exhibition Centre, Birmingham, UK, menampilkan livery baharu bagi menggantikan grafik berwarna oren jenama minuman keras Thornbridge Brewery sebelum ini.

Pelekat Thornbridge masih lagi ada pada bonet hadapan, tetapi ia kini menerima warna putih di atas dan kuning yang seiras kuning Proton Satria Neo S2000 mendominasi bahagian bawah badan. Juga, logo Proton Motorsport dibintangi kepala harimau ‘Thundercats’ kini mendominasi bahagian sisi Iriz R5 berkenaan.

Kejuaraan Rali British 2020 akan berlangsung dalam enam pusingan. Pusingan pertama iaitu Rali Cambrian yang berlangsung Wales Utara akan bermula pada 8 Februari nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required