VIDEO: Proton Iriz R5 diuji Marcus Grönholm sebagai persiapan ke WRC, berlangsung di Ireland Utara

Seperti yang telah kami laporkan pada pertengahan minggu ini, juara dunia WRC dua-kali dari Finland, Marcus Grönholm sekali lagi menguji jentera rali Proton Iriz R5. Menurut apa yang diberitahu sendiri oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang membangunkan kereta ini, ujian yang dijalankan tersebut adalah antara persediaan mereka untuk bertanding di pentas WRC.

Dan kini, MEM telah menyiarkan video ujian yang dijalankan selama dua hari itu, yang dibuat di lokasi rahsia sekitar Ireland Utara. Ujian tersebut dibuat bukan sahaja di atas permukaan batu kerikil, malah turut melibatkan laluan di atas permukaan aspal (tar).

Dalam video berkenaan, ujian ini bukan hanya melibatkan Marcus Grönholm, malah dua lagi pemandu yang berlumba menggunakan Iriz R5 berkenaan iaitu Oliver Mellors dan juara siri Kejuaraan Rali Tarmac Ireland lima-kali, Eugene Donnelly.

Kami sempat untuk bercakap dengan Grönholm menerusi telefon sejurus sahaja ujian tersebut tamat tempoh hari. Menurutnya, dia gembira dengan Iriz R5 berkenaan kerana mempunyai prestasi dan juga lebih mudah dipandu dari ujian pertama yang disertainya dua tahun sebelum ini.

Ketika pada pendapatnya adakah Proton Iriz R5 ini sudah bersedia untuk ke WRC, jawabnya ringkas: “Ya, sudah tentu!” Menurutnya, prestasi Proton Iriz R5 tersebut tidak jauh dari prestasi jentera R5 yang lain dari WRC. Walau bagaimanapun, ia masih lagi perlu diuji dan dibuat berberapa talaan akhir.

Jika anda perasan, unit ujian yang digunakan pada hari ini juga bukan kereta yang sama dipandu oleh Oliver Mellors dalam perlumbaan-perlumbaan baru-baru ini – ia diberikan warna, bersama ‘kepala harimau’ Proton di pintu belakang, tanpa nombor pendaftaran, berbanding jentera Olie dengan livery minuman keras Jaipur berwarna oren, serta nombor pendaftaran YN15 GFG.

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

Setelah menjadi juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage selama tiga-tahun berturut-turut, dan pelbagai rali peringkat nasional seperti Woodpecker Stage Rally 2019, Trackrod Yorkshire Rally 2019, Malton Forest Rally 2019, Grizedale Rally 2019 serta pelbgai rali lagi, bila kita boleh tengok Iriz R5 ini bertarung di pentas WRC? Sabar dulu, terus ikuti perkembangan berita ini sedikit masa lagi kerana kami sedang mengatur satu lagi temu bual dengan Chris berkenaan perkara ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required