Ini mungkin berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat Proton Motorsport, terutamanya jentera baharu dari Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang menggantikan Proton Satria Neo S2000 iaitu Proton Iriz R5 – kereta berkenaan telah di bawa ke satu lokasi rahsia di Ireland Utara untuk dilakukan ujian yang sekali lagi disertai bekas juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) dua kali, Marcus Grönholm dan kami difahamkan ujian adalah khas untuk persediaan mereka ke WRC dalam masa terdekat!

Ujian tersebut telah bermula semalam dan baru sahaja berakhir hari ini. Apa yang istimewa, kami berpeluang untuk bertanyakan sendiri kepada Marcus berkenaan ujian ini menerusi satu panggilan telefon yang diaturkan khas oleh pihak MEM sendiri.

Menurut Marcus, mereka melakukan ujian selama dua hari ini dalam dua permukaan berbeza iaitu pada permukaan batu kerikil semalam, dan permukaan asfalt (tar) pada hari ini. Dia gembira dengan Iriz R5 berkenaan kerana mempunyai prestasi dan juga lebih mudah dipandu dari ujian pertama yang disertainya dua tahun sebelum ini.

Ketika pada pendapatnya adakah Proton Iriz R5 ini sudah bersedia untuk ke WRC, jawabnya ringkas: “Ya, sudah tentu!” Menurutnya, prestasi Proton Iriz R5 tersebut tidak jauh dari prestasi jentera R5 yang lain dari WRC. Walau bagaimanapun, ia masih lagi perlu diuji dan dibuat berberapa talaan akhir.

Jika anda perasan, unit ujian yang digunakan pada hari ini juga bukan kereta yang sama dipandu oleh Oliver Mellors dalam perlumbaan-perlumbaan baru-baru ini – ia diberikan warna, bersama ‘kepala harimau’ Proton di pintu belakang, tanpa nombor pendaftaran, berbanding jentera Olie dengan livery minuman keras Jaipur berwarna oren, serta nombor pendaftaran YN15 GFG.

MEM mula membangunkan Proton Iriz R5 ini sejak tahun 2016. Jentera tersebut dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda.

Untuk suspensi, ia diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula menerima peralatan dari Cosworth. Kereta ini telah pun menerima homologasi penuh dari FIA pada Mac tahun ini bagi membolehkan ia mengambil bahagian dalam mana-mana pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian kereta ini – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari pengasas MEM, Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

Setelah menjadi juara Goodwood Festival of Speed Forest Rally Stage selama tiga-tahun berturut-turut, dan pelbagai rali peringkat nasional seperti Woodpecker Stage Rally 2019, Trackrod Yorkshire Rally 2019, Malton Forest Rally 2019, Grizedale Rally 2019 serta pelbgai rali lagi, bila kita boleh tengok Iriz R5 ini bertarung di pentas WRC? Sabar dulu, terus ikuti perkembangan berita ini sedikit masa lagi kerana kami sedang mengatur satu lagi temu bual dengan Chris berkenaan perkara ini.