Proton X70 2020 secara rasminya telah dilancarkan hari ini – seperti yang ramai sudah tahu, ia bukan sahaja model kemaskini, malah SUV segmen-C ini bukan lagi diimport dari China (CBU) sebaliknya sudah diproduksi secara pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti baharu Proton yang terletak di Tanjong Malim.

Seperti model yang dilancarkan pada Disember 2018, versi 2020 ini masih ditawarkan dalam empat varian. Tetapi ia kini tidak lagi mempunyai pilihan versi 4WD, sebaliknya model 2WD Premium disediakan dalam dua versi. Varian paling rendah Standard 2WD dijual pada harga bermula RM94,800, versi Executive 2WD berharga RM106,800, model Premium 2WD berharga RM119,800, dan varian tertinggi kini dikenali dengan nama Premium X 2WD dijual pada harga RM122,800.

Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan Proton X70 2020 ini masih kekal dilindungi waranti lima-tahun tanpa had perbatuan. Proton juga menyatakan harga yang diumumkan ini adalah sama antara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Enam warna ditawarkan iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey.

Untuk 3,000 pelanggan pertama X70 2020 ini, Proton turut menawarkan pakej istimewa iaitu data internet tambahan pada kad sim pada sistem infotainmen GKUI sebanyak 4GB selama lima tahun (bernilai RM1,740), serta pakej aksesori yang terdiri dari dash cam, karpet kaki, pelindung matahari magnetid, visor pintu, tray but dan trunk organizer secara percuma.

Untuk pembeli lain, X70 hadir dengan pakej standard seperti pakej data 1GB setiap bulan, 5 kali servis penyelenggaraan dengan kos buruh percuma, kadar faedah serendah 2.32% setahun dan juga perlindungan insuran premium.

Proton X70 2020 ini masih lagi dijana oleh enjin 4G18TD 1.8 liter turbo dengan sistem suntikan terus. Perubahan paling besar dari segi mekanikal adalah pada sistem transmisi – ia kini dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar automatik jenis basah tujuh kelajuan bagi menggantikan transmisi automatik konvensional enam-kelajuan sebelum ini.

Dengan transmisi yang dikongsi bersama Volvo XC40 (model dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo) yang lebih efisien ini, enjin yang sama dapat membebaskan jumlah tork lebih 15 Nm dari asal kepada 300 Nm, namun jumlah penghasilan kuasa masih sama pada tahap 181 hp.

Ini membolehkan X70 2020 memecut 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat, atau 1 saat lebih pantas dari sebelum ini. Bacaan penggunaan petrol juga telah turun kepada 7.6 liter untuk setiap 100 km, berbanding 7.8 liter sebelum ini. Menurut Proton, walaupun kotak gear ini diproduksi di fasiliti Geely di Ningbo, versi yang dihasilkan untuk Proton pasaran Malaysia ini dihasilkan dengan karekter talaan yang lebih agresif berbanding untuk Boyue Pro di China.

Proton juga telah menguji kotak gear ini di Malaysia bagi memastikan ketahanannya dalam ujian sejauh lebih 100,000 km dalam masa lebih enam bulan, termasuk ujian yang turun-naik Genting Highlands yang kerap. Lebih perincian teknikal dan apa lagi ujian ketahanan yang dilakukan oleh Geely terhadap kotak gear tersebut boleh anda baca pada artikel-artikel kami pada PAUTAN INI.

Menurut Proton lagi, mereka telah menggugurkan penawaran sistem AWD pada X70 ini adalah kerana ia kurang mendapat permintaan dari orang ramai. Perubahan lain yang anda boleh lihat pada bahagian ruang enjin X70 CKD ini adalah pada penutup enjin – ia nampak seakan enjin diposisikan menegak kebelakang, bersama tulisan “Proton GPower”.

Penampilan luaran Proton X70 2020 tidak menampilkan sebarang perubahan yang ketara berbanding model CBU dari China sebelum ini. Perubahan yang dapat dilihat pada bahagian luaran adalah logo Proton lama pada gril infinite weave, penutup roda dan juga pada cermin tingkap kini telah digantikan dengan logo bulat baharu.

Jika anda lihat dengan lebih teliti, tayar Continental UltraContact untuk rim 19-inci X70 CKD ini juga telah menggunakan tayar yang dibuat di Malaysia dan bukan lagi dari China, bagi meningkatkan kadar penggunaan bahan-bahan tempatan. Walau bagaimanapun, untuk rim 17- dan 18-inci, ia dibaluti tayar GT Radial yang diimport dari Indonesia.

Menurut Proton lagi, talaan suspensi X70 CKD ini juga telah menerima sentuhan signatur Proton Ride & Handling.

Masuk ke kabin pula, juga sebahagian besar rekaan asal masih lagi ada pada versi kemaskini ini. Seperti juga pada bahagian luaran, roda stereng pada SUV ini menerima logo baharu Proton yang nampak sangat menonjol. Bahagian tuil penukar gear juga berubah – kini dengan tombol gear yang lebih kecil – untuk sistem shift-by-wire transmisi DCT 7-kelajuan baharu yang dipadankan.

Tombol gear berkenaan diberikan butang untuk memilih gear parking pada bahagian atas dengan logo “P” yang besar. Walau bagaimanapun, Proton telah mengesahkan bahawa ia tidak akan terus bertukar ke gear “P” sekiranya pemandu secara sengaja atau tidak menekan butang tersebut ketika kereta sedang bergerak.

Bahagian tersebut juga masih diletakkan butang untuk memilih mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport, bersama butang untuk memilih mod gear manual.

Untuk model Executive dan ke atas, ia kini diberikan tempat duduk hadapan dengan sistem aliran udara pada bahagian bawah. Tiada butang fizikal untuk mengaktifkan fungsi ini, dan ia hanya boleh dikawal menerusi paparan kawalan pendingin hawa pada skrin infotainmen, atau menggunakan arahan suara pada sistem “Hi, Proton”.

Kini, semua varian X70 menerima tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan nisbah 60:40, dan ia boleh condongkan ke belekang dengan dua tahap iaitu 27-darjah dan 32-darjah – penambahbaikkan ini dilakukan berdasarkan respon dari pengguna sedia ada.

Pembeli untuk model Executive ke atas turut akan menerima pintu tailgate belakang dengan bantuan kuasa. Ia boleh dioperasikan menerusi butang pada kunci kawalan jauh mahupun butang pada papan pemuka yang terletak berhampiran kawalan cermin sisi, serta boleh dibuka secara manual dari dalam jika bateri kereta dalam keadaan lemah.

Manakala pada model Premium dan Premium X, ia ditambah baik dengan fungsi bukaan dengan hanya menggunakan penderia kaki pada bawah bampar belakang, membolehkan ia dibuka tanpa sentuhan tangan.

X70 turut diberikan kemaskini pada bahagian but belakang dengan rekaan semula dibuat pada penutup tonneau – kini diberikan rel untuk membolehkan ia digunakan dengan lebih mudah. Proton telah memberikan lapisan karpet pada dinding ruang kargo ini berbanding hanya ditutup plastik kosong sebelum ini, dan ia turut ditambah dengan cangkuk untuk barangan pada sebelah kiri.

Perincian lengkap yang diterima untuk setiap varian Proton X70 adalah seperti berikut:

Proton X70 Standard 2WD

Didatangkan standard dengan:

Sistem mekanikal

  • Enjin 1.8 liter T-GDI DOHC
  • 1,799 cc empat-silinder petrol dengan pengecas turbo
  • 184 PS (181 hp) pada takat 5,500 rpm, 300 Nm bermula 1,750 hingga 4,400 rpm
  • Transmisi DCT dengan klac jenis basah tujuh-kelajuan automatik bersama mod manual
  • Tiga mod pemanduan – Normal, Eco dan Sport
  • Stereng bantuan kuasa elektrik dengan mod normal dan Sport
  • Brek parking elektrik
  • Topang MacPherson (hadapan), multi-link dengan bar penstabil (belakang)
  • Cakera brek berliang (hadapan), cakera solid (belakang)

Luaran

  • Lampu hadapan projektor halogen dengan fungsi on/off automatik
  • Lampu kombinasi belakang LED
  • Lampu kabus hadapan LED
  • Rim aloi 17-inci
  • Cermin sisi lipatan berkuasa elektronik
  • Sistem kemasukan pintar tanpa kunci

Dalaman

  • Roda stereng balutan kulit hitam dengan butang kawalan
  • Larasan turun bawah dan teleskopik untuk roda stereng
  • Paparan instrumen LCD tujuh-inci
  • Butang penghidup enjin
  • Tingkap berkuasa dengan sistem anti-perangkap pada sebelah pemandu
  • Tempat duduk larasan manual
  • Tempat duduk belakang boleh lipat dengan nisbah 60:40
  • Sistem pendingin hawa dua-zon automatik dengan liang kabin belakang dan sistem penyegar udara
  • Skrin infotainment lapan-inci dengan arahan suara “Hi, Proton”, streaming muzik dalam talian, navigasi, hubungan telefon pintar, Bluetooth dan hotspot Wi-Fi 4G
  • Aplikasi Proton Link bagi memantau status kenderaan dan fungsi kawalan jauh
  • Enam pembesar suara
  • Enam port USB – satu untuk data, enam untuk caj
  • Penutup Tonneau
  • Tayar gantian 155/85R18 dengan rim besi

Keselamatan

  • Enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai)
  • Cagak tempat duduk kanak-kanak di belakang dengan cangkuk atas
  • Sistem brek anti-kunci (ABS) bersama EBD dan BA
  • Sistem Brake Hold
  • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
  • Kawalan Traction
  • Bantuan Mula Mendaki (HHA)
  • Bantuan Menurun Bukit (HDC)
  • Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
  • Empat Penderia Parkir belakang
  • Kamera Undur

Proton X70 Executive 2WD

Ditambah dengan:

Luaran

  • Lampu hadapan LED projektor dengan lampu nyalaan siang LED
  • Pengelap cermin dengan penderia hujan
  • Rim aloi 18-inci
  • Pintu tailgate berkuasa

Dalaman

  • Cermin pandang belakang auto-dimming
  • Lampu bendul pintu dan selamat datang
  • Tempat duduk balutan kulit
  • Tempat duduk pemandu larasan berkuasa
  • Sistem aliran udara untuk tempat duduk hadapan
  • Lapan pembesar suara
  • Keselamatan

    • Dua penderia parkir hadapan
    • Kamera 360-darjah

    Proton X70 Premium 2WD

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Rim aloi 19-inci
    • Pintu tailgate berkuasa dengan operasi tanpa sentuhan

    Dalaman

    • Roda stereng balutan kulit Nappa dengan butang pelbagai fungsi
    • Kawalan jauh untuk kesemua tingkap dan bumbung suria
    • Sistem anti-perangkap untuk semua tingkap berkuasa
    • Tempat duduk dan upholsteri kulit Nappa
    • Larasan berkuasa untuk lumbar pada tempat duduk pemandu, larasan berkuasa empat hala untuk tempat duduk penumpang hadapan (dengan suis tambahan pada bahagian bahu)
    • Sembilan pembesar suara termasuk subwoofer

    Keselamatan

    • Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
    • Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS)
    • Brek Kecemasan Automatik (AEB)
    • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
    • Cruise Control Adaptif (ACC)
    • Amaran Keluar Lorong (LDW)
    • Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS)
    • Sistem Amaran Bukaan Pintu (DOW)
    • Kawalan Lampu Tinggi Pintar (HBC)
    • Empat penderia parkir hadapan

    Proton X70 Premium X 2WD

    Ditambah dengan:

    Luaran

    • Bumbung panaromik

    Selain dari ciri-ciri atas kertas yang diumumkan oleh Proton ini, bagaimana pula prestasi SUV Segmen-C ini ketika dipandu? Kalau nak tahu, baca ulasan pandu uji kami pada artikel di PAUTAN INI.

    GALERI: Proton X70 Standard 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Executive 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium 2WD 2020

    GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020

    Proton X70 CKD 2020 – Pilihan warna

    Proton X70 CKD 2020 — Ciri keselamatan

    GALERI: Imej rasmi Proton X70 2020