Dua minggu lalu Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa Accord generasi baharu baharu sudahpun boleh ditempah, manakala semalam telah disahkan bahawa Civic facelift akan dilancarkan di sini pada hari Rabu nanti, 26 Februari.
Dan hari ini, pembaca kami Zuhafiz Ramli telah mengirimkan gambar yang sempat dirakamkannya, menunjukkan kedua-dua model berkenaan di bawa menggunakan sebuah lori pengangkut yang sedang merangkak dalam kesesakan jalan raya. Ini bermaksud, kemungkinan besar kedua-duanya akan diluncurkan dalam pasaran dalam masa yang hampir sama.
Untuk Civic, ia sudah disahkan selain dari menerima rupa yang sama seperti model facelift yang telah pun dilancarkan di Thailand pada 2018, ia kini turut menerima pakej lengkap sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, terdiri sistem seperti cruise control adaptif, Low Speed Follow (LSF), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBS), Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Pengelak Keluar Jalan (RDM), Amaran Keluar Lorong (LDW) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Ia juga akan hadir dengan kamera LaneWatch, iaitu kamera yang akan memaparkan imej titik buta sebelah kiri kereta. Civic baharu ini juga akan menerima penderia parkir hadapan serta ciri-ciri lain terus akan dibekalkan, antaranya pemula enjin kawalan jauh dan brek parkir elektronik.
Untuk kelengkapan lain, Civic masih dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci, enam-beg udara, sistem ABS, EBD, BA bersama VSA dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), serta Bantuan Mula Mendaki, kamera undur pelbagai sudut dan juga cagak Isofix tempat duduk kanak-kanak.
Tiada perubahan dari segi penawaran varian di mana ia akan kekal dengan tiga pilihan iaitu versi asas 1.8 S, 1.5 TC dan model tertinggi 1.5 TC-P. Ia juga bakal dikuasakan dengan unit janakuasa sama iaitu dua pilihan enjin – 1.8 liter NA empat silinder i-VTEC dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan 174 Nm tork pada 4,300 rpm, dan enjin VTEC Turbo 1.5 liter empat silinder 1.5 liter berkuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,700 hingga 5,500 rpm. Kedua-duanya juga masih menerima kotak gear CVT.
Untuk Accord pula, model generasi ke-10 ini hanya akan ditawarkan dalam satu varian sahaja seperti Indonesia, di jana oleh enjin 1.5 L VTEC Turbo. Apa yang menarik, enjin pada Accord ini walaupun pada asasnya adalah sama seperti pada Civic dan CR-V, namun versi pasaran Malaysia ini ditala bagi menghasilkan kuasa lebih besar, malah lebih besar dari versi di Thai mahupun Indonesia.
Menurut apa yang diumumkan oleh Honda Malaysia sebelum ini, Accord akan bernafas dengan bekalan kuasa 201 PS/260 Nm. Untuk rekod, enjin sama pada CR-V dan Accord pasaran lain hanya menghasilkan 190 PS/243 Nm, atau 11 PS dan 17 Nm kurang berkuasa.
Untuk kelengkapan lain, Accord akan dibekalkan dengan lampu utama dan lampu belakang LED, Sistem Bantuan Parkir Pintar dengan Bantuan Brek (belakang), sistem kamera 360° pelbagai-pandanga bersama Honda LaneWatch, pakej Honda Sensing, enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS, EBD dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan penderia parkir hadapan/belakang dan versi Malaysia turut diberikan rim aloi 18-inci.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.