Super GT kembali ke Malaysia – pusingan kelima untuk musim 2020 pada 16 hingga 19 Julai nanti

Super GT kembali ke Malaysia – pusingan kelima untuk musim 2020 pada 16 hingga 19 Julai nanti

Selepas enam-tahun menghilang, kini siri perlumbaan terulung di Jepun, kejohanan Super GT kembali beraksi di Litar Antarabangsan Sepang. Tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk pusingan kelima kejohanan untuk musim 2020, dan buat pertama kalinya pelumba dan pasukan yang bertanding akan berlumba pada waktu malam!

Pusingan di Malaysia tahun ini akan diadakan pada 16 hingga 19 Julai nanti, dan Sepang akan menjadi litar kedua di luar Jepun untuk kejohanan Super GT musim ini, selain dari Burirram, Thailand yang menganjurkan pusingan keempat dua minggu lebih awal.

Perlumbaan tahun ini akan dipromosikan oleh Haro Sports & Entertainmen, dan mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan pihak swasta lain seperti Malaysia Airlines, UMW Toyota (penganjur Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia) dan juga Art of Speed.

Tiket akan dijual pada harga bermula RM80 untuk Grandstand K1 sehingga RM200 untuk Grandstand utama – kedua-duanya untuk pembelian terawal. Selepas itu, harga tiket akan naik bermula RM100 hingga RM250. Pihak penganjur juga menawarkan tiga pakej eksklusif untuk tiket-tiket ini iaitu pakej Dream, Ultimate dan Experience.

Untuk pembeli pakej Dream dan Ultimate akan membolehkan anda mendapat pengalaman seperti hospitaliti GT Club Paddock, pit walk, taxi ride dan juga safari litar-iaitu pengalaman menaiki bas mengelilingi litar untuk menyaksikan sendiri kereta-kereta lumba berkenaan beraksi dengan lebih dekat.

Istimewa untuk semua pemegang tiket, UMW Toyota akan menyediakan sebuah Toyota GR Supra sebagai hadiah untuk pertandingan “Predict and Win”, manakala Art of Speed bakal mempersembahkan Auto Expo di kawasan Open Mall hingga ke Grandstand utama.

Untuk perlumbaan tahun ini, ia masih lagi mengekalkan format dua kelas iaitu GT500 dan GT300 yang dilepaskan sekali. Bagi kategori tertinggi GT500, tiga pengeluar utama Jepun – Honda, Toyota dan Nissan – akan berentap sesama sendiri menerusi 15 pasukan yang bertanding.

Super GT kembali ke Malaysia – pusingan kelima untuk musim 2020 pada 16 hingga 19 Julai nanti

Musim ini, Toyota akan turun semula ke gelanggang Super GT dengan kembalinya semula nama Supra, dan menggantikan jenama mewah mereka, Lexus yang bertanding pada perlumbaan musim lalu. Kategori GT 500 akan menggunakan regulasi FIA Class 1 iaitu sama seperti spesfikasi kereta lumba dalam Kejohanan Touring Car Jerman (DTM), dan ini memaksa Honda untuk mengubah kedudukan enjin pada jentera NSX mereka dari bahagian tengah ke bahagian hadapan.

Manakala Nissan walaupun akan dibarisi jentera baharu, mereka masih lagi menggunakan asas Nissan GT-R R35 sebagai asas kereta lumba GT 500.

Bagi kategori GT300 pula, dengan regulasi kereta lumba FIA GT3 yang lebih ‘mampu milik’ digunakan, ia meriah dengan penyertaan sehingga 30 pasukan dengan pelbagai jentera seperti Mercedes-AMG, Toyota, BMW, Audi Porsche, Lamborghini, Nissan, Bentley, Honda, Lotus dan Subaru.

Malah pusingan di Sepang ini turut menampilkan pasukan sepenuhnya dari Malaysia iaitu Porsche GT3 R yang dipandu oleh pasangan Jazeman Jaafar dan Dato’ Adrian da Silva.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required