Volvo Cars telah membuat panggilan semula peringkat global bagi lebih daripada 700,000 kenderaan yang berkemungkinan masalah brek kecemasan autonomous (AEB) yang tidak berfungsi sepatutnya dalam situasi tertentu. Masalah itu dipercayai berpunca daripada kegagalan perisian yang menyebabkan sistem tidak akan memberhentikan kenderaan bagi sesetengah objek, misalnya pejalan kaki dan pengayuh basikal.

Masalah berkenaan pertama kali dikesan ketika penilaian dalaman Volvo sendiri, dengan XC60 yang gagal untuk mengaktifkan brek secara beterusan seperti yang sepatutnya ketika dipandu melalui laluan khas dalam ujian yang dijalankan oleh Federation of Danish Motorists (FDM).

Menurut Volvo, sembilan model yang dibina antara Januari 2019 hingga Mac 2020 tersenarai dalam panggilan semula ini, termasuk S60, V60, V60 Cross Country, S90, V90, V90 Cross Country serta SUV XC40, XC60 dan XC90.

Menurut syarikat itu, setakat ini belum ada lagi laporan kejadian atau kemalangan berkaitan masalah berkenaan. Sistem berkenaan masih memberikan visual dan audio amaran seperti yang sepatutnya, termasuk sokongan brek yang dijangkakan.

Untuk pasaran tempatan, Volvo Car Malaysia memaklumkan panggilan semula ini akan melibatkan 1,802 unit model-model seperti S60, S90, XC40, XC60 dan XC90 yang dipasang di sini dalam tempoh berkenaan. Pengeluar juga memberi jaminan kepada pemilik bahawa sistem brek biasa pada semua model berkenaan tidak terkesan dengan perkembangan ini dan selamat untuk digunakan.

VCM akan menghubungi semua pemilik yang terlibat untuk melakukan panggilan semula dan menyelesaikan masalah yang dinyatakan itu melalui kemaskini perisian, yang akan dilakukan secara percuma.