Ini perkara yang bakal menggusarkan banyak pihak; majoriti pengusaha atau peruncit petrol di seluruh negara berhadapan risiko gulung tikar dan mungkin terpaksa menghentikan operasi masing-masing. Ini ekoran tekanan kewangan membabitkan penurunan ketara harga bahan api serta aliran trafik yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, pihak peruncit petrol telah mencatat penurunan jualan produk bahan api yang mencecah 70%.

“Tidak lama lagi ramai yang terpaksa menutup operasi masing-masing… duit sudah tiada dan bergantung kepada sebanyak mana simpanan sahaja. Kami tidak dibenarkan mengambil cuti tanpa gaji, manakala kadar (caj) elektrik kami juga kekal sama. Kami tidak mendapat sebarang rebat 15% dan akan teruk terjejas. Keadaan pastinya akan lebih sukar,” katanya kepada Bernama

Minggu bertarikh 21-27 Mac 2020 menyaksikan penyusutan harga bahan api yang cukup ketara
dengan petrol RON97 berharga RM1.74 seliter – turun 36 sen daripada RM2.10 seliter manakala RON95 berharga RM1.44 seliter berbanding RM1.82 seliter minggu sebelumnya. Bagi diesel pula, harganya turun 12 sen menjadi RM1.75 seliter.

Punca penyusutan harga ini disebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah akibat perbalahan antara negara pengeluar, selain isu penularan COVID-19. Tambah Khairul Annuar lagi, ada kalangan peruncit petrol yang menyuarakan kebimbangan bahawa mereka tidak lagi mampu membeli bahan api apabila modal kerja sedia ada terus susut.

“Setiap hari kami menjual mengikut harga belian sebelum ini iaitu RM1.82 (seliter) dan kemudiannya harga itu turun kepada RM1.44, melibatkan pengurangan sebanyak 38 sen untuk RON95. Secara kebetulan jualan pula rendah ketika terpaksa menjual bahan api itu pada paras rugi 38 sen seliter selama seminggu atau lebih.

“Penyusutan harga ini telah berlanjutan selama tiga minggu dan kami telah mengalami kerugian RM40,000 untuk minggu ini sahaja yang merupakan sebahagian daripada modal kerja kami. Malah, pada akhir bulan, kami perlu membayar gaji pekerja dan bil elektrik antara RM30,000 dan RM70,000 (bergantung kepada saiz stesen minyak) yang juga sebahagian daripada modal kerja,” katanya.

Oleh itu, PDAM menggesa agar pihak kerajaan memperkenalkan harga lantai bahan api serta mewujudkan dana penstabilan bagi membantu kalangan peruncit petrol. “Sewajarnya harga lantai perlu ditetapkan. Jika terdapat sebarang lebihan pun, kutipan itu boleh dilakukan oleh kerajaan menerusi dana penstabilan yang dapat dimanfaatkan bagi tujuan (skim) subsidi apabila harga melonjak melangkaui paras siling. Dana penstabilan itu merupakan satu mekanisme yang baik,” katanya.