Mitsubishi Triton baharu sememangnya telah diberikan muka yang cukup ganas. Bagaimana nak memberikan rupa lebih ganas kepada trak pikap ini? Untuk Wild Offroad dari Turki, mereka telah meninggikan lagi Mitsubishi L200 (nama Triton pada pasaran tersebut) bagi memberikan rupa yang jauh lebih gagah!

Tiada perincian lengkap tentang apa yang telah diubahsuai pada Triton ini, tetapi apa yang diberitahu ia telah menerima lift-kit yang mengangkat badan pikap ini dari kerangka 100 mm lebih tinggi dari asal – memang tinggi, lebih tinggi dari Triton Borneo Safari yang pernah penulis pandu sebelum ini.

Triton tersebut turut disarungkan dengan rim 16-inci dengan offset yang memberikan bibir yang lebar, dibalut dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3 bersaiz 315/75R16. Turut dapan dilihat, ia dilengkapi dengan set overfender berwarna hitam berkilat, pelindung bawah badan hadapan tambahan serta kemasan krom yang dihitamkan bagi menambah lagi rupa garangnya.

Wild Offroad juga tidak mendedahkan sebarang ubahsuai dari segi mekanikal lain. Dalam keadaan standard, Triton dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel yang mampu menghasilkan 181 PS dan tork maksima 430 Nm. Untuk pasaran Malaysia, versi tertinggi Adventure X menerima kotak gear enam-kelajuan automatik, bersama sistem Super Select 4WD-II yang membolehkan pemandu memilih mod gravel, mud, sand atau rock dengan mudah.