PKP: Penulis hasilkan replika skala kecil kereta sendiri

PKP: Penulis hasilkan replika skala kecil kereta sendiri

Antara semua penulis dalam team paultan.org Bahasa Melayu, rasanya saya yang paling banyak menulis hal-hal berkenaan mainan. Sebabnya, walaupun umur dah tua bangka, saya masih lagi tidak boleh berpisah dengan mainan. Bukan kerana bersifat budak-budak, tetapi dalam usia begini seperti kebanyakkan lelaki lain, kami mula ‘membalas dendam’ apa yang yang kami tidak dapat ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Membina model kit kereta adalah salah satu minat sejak dari kecil dahulu. Namun disebabkan kekangan kewangan, hobi ini seolah-olah kenangan kanak-kanak yang tidak sempurna. Sepanjang ingatan penulis, hanya tiga model kit yang diperolehi penulis sepanjang usia sekolah rendah hingga sekolah menengah iaitu Lexus LS400, BMW Z3 dan juga Toyota Supra MA70 – ada yang berjaya diperolehi hasil memujuk orang tua, ada juga yang dibeli dengan mengumpul wang belanja harian sekolah.

Jadi setelah tamat belajar mula bekerja, hobi ini saya mulakan kembali dengan membeli lebih banyak kit. Ketika bujang dahulu, masa bukan menjadi masalah untuk menyiapkan satu-satu kit. Namun setelah berkahwin, penulis masih membeli kit-kit yang diinginkan, tetapi sukar untuk menyiapkan satu-satu projek kerana waktu perlu lebih banyak dibahagi untuk menguruskan keluarga.

Volvo 240 GL sebenar milik penulis

Namun seperti yang kita semua tahu, pandemik Covid-19 telah memaksa semua orang di dunia ini memperlahankan rentak kehidupan mereka. Ya, penulis masih bekerja seperti biasa di rumah, tetapi aktiviti luar lain yang biasanya dibuat pada waktu malam dan hujung minggu tidak dapat berjalan seperti biasa. Rutin saya untuk ke rumah ibu bapa setiap dua minggu juga terbantut kerana arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diwartakan oleh kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Coronavirus berkenaan.

Jadi dengan tiada ajakan dari isteri untuk pergi ‘tengok tudung’ atau ‘tengok baju budak’ di pusat membeli-belah, atau anak-anak yang mengajak untuk ke restoran makanan segera dan ke taman-taman permainan, penulis secara tiba-tiba mempunyai begitu banyak masa yang boleh diluangkan di rumah. Dengan kesempatan ini, membolehkan penulis memulakan ‘projek-projek’ yang telah dirancang sebelum ini.

Antaranya adalah untuk menghasilkan replika kereta Volvo 240 penulis sendiri, menggunakan asas dari kit kereta lumba Volvo 240 Turbo Group A keluaran jenama model kit dari Macau iaitu Beemax. Kit ini sebenarnya telah saya beli hampir dua tahun lalu, dan seperti penulis katakan tadi, kekangan masa membuatkan projek ini tertunda begitu lama.

Dan untuk menjadikan ia replika kepada kereta sebenar saya juga bukanlah mudah, kerana kit kereta lumba ini adalah dari model dua pintu, sedangkan kereta penulis adalah dari versi empat pintu. Mujur, jarak roda kedua-dua model ini adalah sama, jadi ubahasuai yang perlu dilakukan hanyalah untuk mengubah kedudukan tiang-B dengan memotong badan model ini, serta membuat tiang-C baharu untuk pintu belakang.

Satu lagi cabaran dalam menghasilkan replika ini – oleh kerana ia adalah kit kereta lumba tanpa kemasan dalam yang lengkap, saya perlu melengkapkan semula tempat duduk belakang, karpet kaki dan konsol terowong dengan tuil brek tangan. Mujur juga penulis berjaya mendapatkan aksesori yang sama dengan dengan kereta sebenar saya iaitu sepasang tempat duduk Recaro ‘Fishnet’ dan juga roda stereng Nardi Classico.

Selesai semua, badan model ini saya cat dengan warna sama dengan kereta sebenar iaitu merah-hitam, dan untuk melengkapkannya, satu set rim Work Meister berwarna emas dipadankan pada Volvo 240 dalam skala 1/24 ini.

Sebenarnya, sepanjang tempoh empat minggu PKP ini, saya telah berjaya menyiapkan empat model kit termasuk Volvo ini – ya, lebih kurang satu kit untuk satu minggu. Tiga kit lain yang telah disiapkan adalah Datsun Fairlady Roadster SR311, Mitsubishi Lancer EX Turbo A176 RAC Rally 1984 dan juga jentera yang Tommi Makinnen gunakan ketika memenangi Rally Sweden 1995 iaitu Mitsubishi Lancer Evolution III.

Hobi saya ini bukan tertumpu hanya pada untuk membina model kit, saya juga telah mengembangkannya dalam menghasilkan versi-versi custom dari model diecast skala 1/64 seperti HotWheels, Majorette, Matchbox dan lain-lain.

Berminat tapi susah nak mulakan hobi ini kerana sukar nak cari bahan? Kalau anda rajin untuk ‘menelaah’ aplikasi beli-belah secara atas talian, sebenarnya masih lagi banyak kedai-kedai hobi yang beroperasi menggunakan khidmat pos dalam tempoh PKP ini. Untuk cat pula, terus terang, saya tak pernah menggunakan air brush atau cat gred hobi, dan semua model yang saya buat ini menggunakan cat tin aerosol industri biasa yang hanya dibeli di kedai hardware.

Hasilnya tidaklah cantik mana, tapi boleh la nak puaskan hati sendiri. Bukan nak masuk pertandingan atau ambil upah buat untuk orang lain pun kan?

Anda ada hobi unik berkaitan automotif yang boleh diketengahkan dalam musim PKP ini? Jangan segan untuk kongsikannya kepada kami menerusi email [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Noor Azrul Mohd Ariff on Dec 24, 2020 at 2:41 pm

    Assalamualaikum Tuan, ada tak model kereta Toyota LE, Honda Accord tahun 1984, Daihatsu Charade tahun 1984, Volkswagon Beetle tahun 1967 dan Nissan Serena C23 tahun 2000 dalam simpanan tuan? TQ

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required