Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengesahkan kerajaan negeri terbabit telah memberikan kebenaran untuk dua ahli keluarga dari rumah yang sama bergerak dalam satu kenderaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memasuki fasa empat. Ini selaras dengan langkah kerajaan pusat yang telah memberikan kebenaran untuk perkara tersebut mulai semalam.

Dalam satu kenyataan media, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) berkata keputusan itu akan berkuat kuasa serta merta selepas mempertimbangkan maklum balas diterima daripada orang awam mengenai peraturan itu yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Sekarang kami akan membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk keluar dengan sebuah kereta bagi tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, diet tambahan atau barangan lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan,” kata beliau seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Jelasnya, jawatankuasa itu tidak membuat keputusan serta-merta selepas Ismail Sabri mengumumkan sedikit kelonggaran dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP fasa empat semalam kerana mereka masih belum menerima sebarang maklumat daripada Kerajaan Persekutuan ketika itu.

“Kami perlu berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan penting dalam waktu kritikal ini kerana ia boleh memberikan kesan yang besar kepada negeri. Lagipun, kami masih lagi memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

Semalam Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

Beliau turut mengumumkan, dalam SOP PKP fasa empat ini orang ramai dibenarkan melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer. Walau bagaimana pun, ia hanya dibenarkan sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu terbabit.