Walaupun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan orang ramai kini sudah pun boleh keluar berdua (dari satu rumah yang sama) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa keempat yang bermula semalam, kerajaan untuk dua negeri di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak masih belum membenarkan rakyatnya untuk menuruti kelonggaran baharu itu.

Dalam laporan Bernama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan itu perlu diperinci dan dibincangkan terlebih dahulu dalam Pusat Arahan Covid-19 Sabah sebelum ia dilaksana di peringkat negeri tersebut.

“Kita perlu mengkaji kesannya terlebih dahulu. Sekiranya ia boleh dilaksana tanpa ada kesan buruk yang timbul kita akan laksanakan,” katanya dan menambah pergerakan dua orang dalam satu kenderaan hanya diberikan untuk tujuan tertentu khususnya dalam perkhidmatan yang dibenarkan sahaja.

Sementara itu di Sarawak, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata setakat ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) cuma membenarkan petani yang hendak ke kebun atau ke sawah padi keluar berdua, lapor Utusan Borneo.

“Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai perkara itu (kebenaran untuk keluar berdua dalam satu kenderaan). Di Sarawak buat masa ini kita hanya membenarkan petani yang turun menuai padi boleh berteman atau membawa seorang penumpang dalam satu kenderaan.

“Bagi orang umum (selain petani), belum. Kita masih tunggu dahulu,” katanya pada sidang media selepas meninjau Operasi Pengesanan Kes Aktif COVID-19 di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden di Sarawak, semalam.

Semalam Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan sedikit kelonggaran untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan dua orang individu bergerak dalam satu kenderaan. Ini adalah bertujuan untuk membolehkan ketua keluarga membawa salah seorang ahli keluarga terdekatnya yang menetap di rumah yang sama, melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian, makanan dan mendapatkan perkhidmatan perubatan.

Beliau turut mengumumkan, dalam SOP PKP fasa empat ini orang ramai dibenarkan melakukan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer. Walau bagaimana pun, ia hanya dibenarkan sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu terbabit.