Pada 14 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan telah membenarkan pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atau berlainan negeri, atau ‘pasangan jarak jauh’ (PJJ), untuk melakukan perjalanan merentas negeri bagi berjumpa dengan pasangan masing-masing.

Walau bagaimana pun, pada 21 Mei 2020, kebenaran tersebut ditarik balik buat sementara waktu bagi mengelakkan penyebaran COVID-19 menjelang sambutan Aidilfitri.

Namun demikian, larangan tersebut hanya berlangsung selama seminggu sahaja, dan mulai hari ini, 1 Jun 2020, kerajaan kembali membenarkan individu berkenaan melakukan perjalanan rentas negeri.

Dalam sidang harian media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam, Ismail berkata, keistimewaan itu hanya diberikan kepada pasangan PJJ kerana bekerja di dua negeri berbeza.

“Perjalanan rentas negeri itu terhad, untuk seminggu sekali sahaja dan individu ‘istimewa’ terbabit perlu mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri,” katanya.

Mengenai individu yang masih bujang yang telah lama tidak dapat berjumpa dengan ibu bapa di kampung masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, Ismail memgharapkan individu berkenaan bersabar.

“Bagi mereka yang masih bujang, sabarlah kerana giliran anda pasti tiba nanti. Jadi terus patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Untuk yang perlu melakukan pergerakan rentas negeri atas urusan kerja dan kes kecemasan seperti kematian atau perubatan, tiada masalah untuk perjalanan merentas negeri asalkan ada surat kebenaran dikeluarkan oleh pihak polis,” jelasnya lagi.