Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan biarpun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah bermula hari ini hingga 31 Ogos 2020, namun jumlah penumpang yang dibenarkan berada dalam sebuah kenderaan masih tertakluk kepada Prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebelum ini (dalam tempoh PKPB), kita tetapkan empat orang, kemudian mengikut kapasiti kenderaan dan dari rumah yang sama. Dalam hal ini, SOP masih kekal sama. Jika ada perubahan kita akan umumkan nanti,” katanya pada sidang media PKPP di Putraja sebentar tadi.

Tambahnya lagi, jika ada perubahan mengenai SOP itu, kerajaan akan membuat pengumuman mengenainya.

Pada 27 Mei lalu, kerajaan telah memutuskan jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian dibenarkan mengikut kapasiti tempat duduk di dalam kenderaan berkenaan. Walau bagaimana pun, selain daripada ahli keluarga, penumpang mestilah terdiri daripada orang yang tinggal serumah dengan pemandu.

Di bawah peraturan baharu ini, jumlah penumpang di dalam sebuah kenderaan akan bergantung pada kapasiti kereta seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Perkara tersebut juga telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6)(Pindaan) 2020.