Ketika zaman perseteruan antara Mika Hakkinen dan Micheal Schumacher, kita di Malaysia ada satu lagi tumpuan yang diberikan dalam Formula 1 – anak jati tempatan, Alex Yoong mula melangkah ke peringkat tertinggi perlumbaan single seater tersebut bersama pasukan Minardi bermula di GP Itali 2001, setelah berjuang dalam perlumbaan Formula 3000 dan Formula Nippon.
Namun prestasi Alex Yoong dalam perlumbaan berkenaan tidaklah seperti yang diharapkan oleh peminat di Malaysia – beliau pernah berberapa kali gagal layak untuk berlumba setelah gagal mencatatkan masa dalam undang-undang 107% ketika sesi kelayakan. Akhirnya, karier F1 Alex Yoong berakhir pada penghujung musim 2002.
Dalam satu video wawancara bertajuk “Passion to Profession” yang disiarkan oleh The Motorsport People baru-baru ini, Alex Yoong meluahkan kekecewaannya bahawa Formula 1 sebenarnya bukan sahaja telah merosakkan kariernya, malah telah mengganggu perkembangan sukan permotoran di Malaysia secara keseluruhan.
Menurut Alex, walaupun Minardi menawarkan tempat untuknya ketika itu, beliau masih lagi perlu untuk mencari penaja sendiri. Dan akibat kekangan kewangan, beliau hanya berpeluang untuk melakukan ujian dua hari sepanjang kariernya, berbanding pasukan lain yang boleh dikatakan melakukan ujian setiap minggu. Ya, hanya 2 hari tersebut Alex berada dalam kokpit F1 selain dari sesi perlumbaan sebenar.
“Formula 1 merosakkan karier saya dalam pelbagai perkara kerana kami sentiasa di belakang dan kami tak pernah capai kemenangan,” kata Alex.
“Secara keseluruhan idea berkenaan F1 adalah idea yang bagus. Tetapi anda boleh tengok ia adalah eksperimen yang gagal, maksud saya, untuk meletakkan Malaysia atas peta dunia, tak boleh dinafikan. Untuk pemasaran, tak boleh dinafikan. Hebat. Tetapi untuk perniagaan sukan permotoran, saya katakan ia sangat negatif.
“Kita ada fasiliti berkelas dunia (Litar Sepang), tetapi selepas itu mereka menutup dua litar (Batu Tiga dan Pasir Gudang) kita yang sempurna. Batu Tiga dan Pasir Gudang adalah litar yang hebat, tetapi ia sudah tiada lagi,” luahnya.
Alex merasakan dunia sukan permotoran tempatan hampir mencapai tahap apa yang sepatutnya pada era 90’an, di mana litar Batu Tiga dan Pasir Gudang melahirkan ramai bakat-bakat dalam negara dari perlumbaan peringkat akar umbi, namun apabila F1 tiba di Malaysia, segala-galanya musnah.
Ketika ditanya adakah sukan permotoran di Malaysia berkembang sejak kebelakangan ini, Alex memberikan jawapan yang tajam : “Anda bagitahu, apa yang berubah? Cepat, bagitahu. Banyak litar-litar baru? Sukan permotoran berkembang? Siapa yang menang di peringkat tempatan? Oh, orang yang sama? Wow.
“Keifli (Othman), anda tahukan dia juga bermula pada era 90’an? Siapa lagi? Tengku Djan juga pada 90’an. Saya ingat ketika dia berlumba dengan Proton, dia bermula dengan Proton setahun selepas saya buat perkara yang sama,” tambah Alex lagi.
Alex Yoong dapat peluang untuk berlumba pada usia muda kerana ayahnya, Hanifah Yoong menguruskan litar Baru Tiga di Shah Alam dari 1988 hingga 1998. Beliau bermula dengan perlumbaan ‘one make’ Proton Saga, dengan format hampir sama seperti perlumbaan Saga Cup yang dianjurkan oleh Malaysia Speed Festival (MSF) di Sepang buat masa sekarang.
Selepas gagal di Formula 1, Alex mula menyusun semula kariernya dengan berlumba dalam pelbagai peluang yang diberi, juga dengan kekangan kewangan. Pada tahun 2005, pasukan A1 GP Malaysia ditubuhkan dan Alex diberi peluang untuk menjadi pemandu utama sehingga tahun 2008 – mencapai keputusan terbaik tempat kelima keseluruhan pada musim 2005-2006.
Beliau juga pernah berlumba dalam piala Audi R8 LMS dari 2012 hingga 2017, dan menjadi juara pada musim 2014, 2015 dan 2016. Buat masa sekarang, Alex menguruskan syarikatnya iaitu Axle Motorsport yang diwujudkan untuk mencungkil bakat-bakat pelumba baharu menerusi simulator perlumbaan (e-sport/sim racing) – antaranya adalah Mior Muhammad Hafiz yang berlumba mewakili Malaysia di FIA Motorsport Games, Itali tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
sukan f1 memang Mahal….tapi aq rase Kat situlah tempat anak2 muda datang minat untuk ceburi suka sim racing or racing. Hanya sekadar pendapat. Lagipun aq rindu F1 race kt sepang.