Jenama automotif dari China, Geely mengakui bahawa jurutera Proton telah melakukan lebih dari sekadar menukar logo untuk mentransformasikan dari Boyue kepada Proton X70. Antara usaha berkenaan adalah menukar kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke sebelah kanan, dan melakukakan pelbagai penyesuaian agar X70 boleh bertahan dengan keadaan di Malaysia yang berbeza dari China.

Menurut Geely, menukar kedudukan pemandu bukan semudah mengubah posisi stereng seperti yang disangka ramai orang. Tetapi Proton sebenarnya perlu meneroka satu proses baharu untuk menghasilkannnya.

Dan proses berkenaan melibatkan perubahan terhadap 761 komponen yang perlu melalui kejuteraan semula, terdiri dari bahagian seperti memposisikan dan menjajar semula papan pemuka, konsol stereng, set pedal, kawalan-kawalan pintu, brek, kotak gear, lampu hadapan, liang pendingin hawa, glovebox serta banyak kabel dan wayar, dakwa Geely.

Proton X70 juga perlu dihasilkan sesuai dengan cuaca dan keadaan topografi di Malaysia, dan proses ini dinamakn sebagai ‘tropikalisasi’. Tidak seperti di China, Malaysia berada di bahagian utara, berdekatan dengan garisan khatulistiwa, dan menyebabkan cuaca di sini ‘panas sepanjang tahun dengan hujan yang banyak’.

Jadi Geely menerangkan bahawa ia tidak sesuai dengan pelbagai bahagian pada Boyue, dan ia memerlukan komponen baharu yang lebih sesuai untuk kegunaan di sini. Antara bahagian tersebut termasuk komponen penyejuk dan komponen getah, serta bagi memastikan X70 sama seperti model Proton yang lain iaitu mempunyai sistem pendingin hawa yang sesuai dengan cuaca di Malaysia, terbaik dalam kelasnya.

Geely turut menjelaskan perbezaan bentuk muka bumi dan altitud juga perlu diambil kira kerana talaan dan larasan semula perlu dibuat pada sistem pengurusan enjin. Contohnya, Proton X70 perlu bertahan dalam kesesakan jalan raya yang teruk dengan suhu sekitar 34 darjah celsius setiap hari di Kuala Lumpur, dan ia juga tidak bermasalah sekiranya di bawa ke kawasan tinggi dengan ketinggian melebihi 6,000 kaki seperti di Genting Highland di mana udara di situ lebih nipis, serta dapat mengharungi bentuk muka bumi di Borneo Timur.

Perbezaan bahan api antara Malaysia dan China juga perlu diambil kira. Ini kerana di China, kebanyakkan kereta beroperasi dengan petrol RON 92, manakala di Malaysia kita menggunakan petrol yang boleh bertahan dalam tekanan lebih tinggi sebelum terbakar sendiri iaitu RON 95 dan RON 97.

Jurutera Proton perlu melakukan talaan semula menggunakan petrol yang biasa digunakan di Malaysia ini terhadap enjin 1.8 liter T-GDI berkenaan bagi memastikan tidak berlaku ‘knocking’ (ketukan yang berlaku dalam kebuk pembakaran akibat petrol yang terbakar sendiri sebelum nyalaan dibuat oleh palam pencucuh).

Proton juga telah melakukan ujian yang cukup banyak sebelum X70 ini diperkenalkan dalam pasaran Malaysia. Geely menyatakan bahawa di Malaysia, Proton telah melakukan semula 25% ujian dari 548 ujian keseluruhan yang telah dilengkapkan oleh Geely Boyue sebelum itu.

Ujian-ujian tersebut termasuk ujian prestasi, pemanduan dan pengendalian, brek, emisi, keselamatan, berat, suhu, pendingin hawa, penyesuaian elektromagnetik, persekitaran, aerodinamik, ergonomik, ketahanan dan NVH. Proton X70 juga selepas itu perlu melepasi homologasi kawal selia dan spesifikasi di Malaysia, serta ujian ASEAN NCAP yang berbeza dan unik berbanding ujian C-NCAP di China.

Geely menyatakan bahawa sejumlah 95 jurutera Proton terlibat dalam proses transformasi ini dari peringkat R&D hingga ujian. Manakala sejumlah 200 orang tenaga kerja dari divisi pembuatan dan kualiti Proton telah dihantar ke China selama enam bulan bagi mempelajari pengetahuan dan pengalaman dari Geely sendiri. Ini secara tidak langsung meningkatkan kebolehan kejuruteraan Proton serta industri automotif di Malaysia secara amnya.

Juga, sehingga akhir 2019, sejumlah 45% komponen yang berada pada setiap Proton X70 adalah dibekalkan oleh vendor-vendor tempatan. Bagi memastikan vendor-vendor tersebut menghasilkan produk yang melepasi kualiti yang ditetapkan oleh Geely, mereka telah menerima bantuan teknikal dari vendor-vendor dari China. Dengan cara ini, vendor-vendor yang terlibat memperolehi pemindahan teknologi dan pengetahuan yang turut boleh digunakan bagi membekalkan komponen kepada jenama lain, sama ada di dalam atau di luar negara.

Buat masa sekarang, Proton sedang membangunkan satu lagi model, iaitu Geely Binyue yang akan ditransformasikan kepada SUV segmen-B Proton X50. Pasti ramai yang mengeluh model tersebut masih belum dilancarkan tetapi dalam masa yang sama banyak unit-unit prototaip ujian ditemui di atas jalan raya bukan? Jadi sekarang dah tahu mengapa proses tersebut mengambil masa yang lama?