MINI Cooper SE F56 2020 kini di Malaysia — RM218k

MINI Cooper SE F56 2020 kini di Malaysia — RM218k

Selepas muncul dalam iklan acah dan dibuka untuk tempahan sepanjang bulan Ogos 2020, MINI Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan MINI Cooper SE, sebuah model hatchback elektrik sepenuhnya yang menggunakan asas dari MINI model F56 tiga-pintu. Harga bagi model ini di Malaysia ialah RM218,380.78 (selepas pengecualian SST; harga penuh sepatutnya ialah RM225,888).

Berbanding model petrolnya, MINI Cooper SE menampilkan beberapa keunikan tersendiri. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil, diberi kemasan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

Bahagian dalam juga mengambil pendekatan yang sama, melibatkan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5-inci baru untuk pemandu yang berfungsi untuk memaparkan pelbagai maklumat pemanduan seperti tahap kuasa bateri, mod pemanduan, pilihan infotainmen, jarak perjalanan dan lain-lain.

MINI Cooper SE F56 2020 kini di Malaysia — RM218k

Visual panel paparan ini juga akan berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih (Sport, Mid, Green, and Green+). Selain itu, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem tunjuk arah dengan skrin 8.8-inci serta fungsi MINI Connected turut melengkapi kereta kompak ini.

Turut tersedia ialah unit head-up display, sistem audio Harman Kardon dengan 12-pembesar suara serta pelantar pengecasan tanpa wayar pada bahagian perehat lengan di tengah. Ruang barangan di belakang kekal dengan kapasiti 211 liter, sama seperti MINI hatchback tiga-pintu biasa, dan boleh diluaskan menjadi 731 liter.

Selain itu, kemasan kuning digunakan antarabanya pada bahagian stereng, tombol gear, butang penghidup enjin dan kawalan sistem infotainmen. Dengan pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi juga dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang tertera logo MINI Electric. Cooper SE ini akan dilengkapi dengan roda “Power Spoke” atau “Electric Spoke” 17-inci.

MINI Cooper SE F56 2020 kini di Malaysia — RM218k

MINI Cooper SE didatangkan dengan motor elektrik yang sama seperti digunakan pada BMW i3s dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 184 hp (135 kW) dengan tork maksimum 270 Nm. Bagi pecutan 0-100 km/j, ia boleh dicapai dalam masa 7.3 saat, dan kelajuan maksimum pula mencecah 150 km/j. Bagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan. Sebagai perbandingan, Cooper S biasa menawarkan 192 hp dan 280 Nm tork melalui enjin 2.0 liter B48 yang digunakannya.

Bagi pengecasan, model ini datang dengan pengecas binaan dalam 11kW dan kabel pengecas 3-pin Type 2 (untuk kecemasan) sebagai ciri standard. Pemilik bagaimanapun disaran untuk mendapatkan
MINI Wallbox Plus 22kW (bersekali dengan kable Type 2) pada harga RM6,500. Kabel Type-2 three-phase tambahan dengan panjang lima meter untuk digunakan di stesen pengecas umum pula dijual pada harga RM1,388.20.

Mengecas kereta ini dari 0-80% mengambil masa 12 jam dengan kabel kecemasan biasa (plag 3-pin di rumah). Dengan wallbox 11kW three-phase, ia hanya memerlukan 3.5 jam untuk pengecasan penuh (hanya 2.5 jam untuk mengecas 0-80%), atau 4.2 jam melalui wallbox single-phase 7.4 kW. Ia juga menyokong pengecasan pantas 50 kW DC, dengan hanya 1.4 jam untuk cas penuh (36 minit dari 0-80%), tetapi ini memerlukan sambungan CCS Combo 2.

Di bawah lantai, pek bateri lithium-ion 32.6 kWh bentuk T yang dibangunkan khusus dengan kandungan bersih 28.9 kWh dan membekalkan kuasa sebanyak 350.4 volts. Dengan satu cas penuh, ia boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 234 km (kitaran WLTP) hingga 270 km (kitaran NEDC).

Untuk melindungi baterinya, ketinggian kereta ini dinaikkan sebanyak 18 mm, serta pelapik kukuh turut digunakan untuk melindunginya daripada serpihan dari jalanan. Dalam situasi kemalangan, fungsi khusus akan mematikan semua komponen pacuan secara automatik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required