Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI

Proton X50 – kadar penggunaan bahan api didedah; 6.4 L setiap 100km untuk 1.5L 3-silinder Turbo GDI

Selepas pendedahan eksklusif untuk pihak media dibuat minggu lalu, Proton masih belum mengumumkan bila tarikh sebenar X50 ini akan dilancarkan secara rasmi dalam pasaran. Buat masa sekarang, jenama automotif nasional tersebut sedang menjalankan ‘City Preview’, menjelajah ke destinasi tertentu bagi membolehkan tetamu yang dijemput melihat dengan lebih dekat SUV segmen-B yang akan menjadi saingan utama kepada Honda HR-V berkenaan.

Apa yang menarik, ada maklumat didedahkan ketika sesi ‘City Preview’ tersebut yang tidak disebut ketika sesi untuk media di Tanjung Malim sebelumnya, iaitu kadar penggunaan bahan api untuk X50 ini.

Seperti yang diberitahu sebelum ini, tiga varian lebih rendah akan dijana oleh enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan pelbagai titik (MPI) menghasilkan 150 PS/226 Nm, manakala varian tertinggi Flagship pula dijana enjin sama tetapi dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan 177 PS/255 Nm.

Untuk itu, slide pada pembentangan ketika majlis City Preview berkenaan tertulis bahawa varian Standard, Executive dan Premium dengan enjin Turbo MPI akan memberikan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km (15.4 km/l), manakala model dengan enjin 1.5L T-GDI pula mampu mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu 6.4 liter setiap 100 km (15.6 km/l).

Walau bagaimanapun, ia tidak memperincikan ujian kitaran yang digunakan, tetapi ia mungkin kitaran sama seperti kadar yang diumumkan pada Proton X70 iaitu bacaan kitaran gabungan yang diperolehi dari Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Proton X70 menerima pengiktirafan EEV dari MARii dengan kadar penggunaan bahan api 7.6 liter untuk setiap 100 km (13.2 km/l).

Walaupun Proton menawarkan enjin berbeza bergantung kepada varian, kotak gear yang diberikan pada kedua-dua jenis enjin adalah sama iaitu transmisi klac-berkembar jenis basah automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan oleh Geely bersama Volvo, dan kuasa hanya memacu roda hadapan.

Untuk perincian lain, kami telah pun mendedahkan secara ekstensif dalam laporan eksklusif untuk majlis minggu lalu dan anda boleh bacanya pada artikel di PAUTAN INI. Namun gambar-gambar yang kami sertakan hanyalah dari varian tertinggi Flagship kerana Proton masih belum menunjukkan model-model dalam varian lebih rendah.

Tetapi untuk membandingkan spesifikasi setiap varian, ia adalah seperti berikut:

    Proton X50 1.5T Standard 2020

    Ciri standard:

  • 1.5 liter turbocas tiga-silinder petrol
  • Sekitar 150 PS dan 226 Nm tork
  • DCT tujuh-kelajuan (klac basah) automatik dengan mod manual
  • Empat beg udara
  • Lampu dan DRL LED
  • Rim aloi 17-inci
  • Kerusi balutan fabrik
  • Corong pendingin hawa belakang
  • Unit infotainmen dengan skrin lapan-inci
  • Kamera undur
  • Proton X50 1.5T Executive 2020

    Tambahan:

  • Enam beg udara
  • Stereng balutan kulit
  • Lampu automatik
  • Lampu kabus depan
  • Kerusi balutan kulit
  • Proton X50 1.5T Premium 2020

    Tambahan:

  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • Rim aloi 18-inci
  • Kerusi kuasa elektrik untuk pemandu
  • Unit infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci
  • Kamera 360-darjah
  • Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

    Tambahan:

  • 1.5 liter turbocas suntikan terus tiga-silinder petrol
  • 177 PS dan 255 Nm tork
  • Advanced Driver Assistance System (ADAS)
  • Warna luaran dua tona (bumbung dan tiang hitam)
  • Bumbung kaca panoramik

GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020

Gambar rasmi Proton X50

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required