Semasa majlis pelancaran Proton X70 CKD 2020 semalam, kami terperasan satu pelekat yang terdapat di cermin belakang kereta yang dipamerkan. Ia adalah label EEV Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), yang mana mempunyai kod QR dan apabila diimbas, boleh menunjukkan spesifikasi kenderaan tersebut, termasuk tahap kecekapan penggunaan bahan api dan emisi CO2.

Skim perletakan label EEV secara sukarela ini pertama kali ditunjuk pada Mac 2018, waktu pelancaran Pusat Ujian Emisi Negara (NETC) di Rawang, dengan tujuan menjadi platform meningkatkan kesedaran pelanggan dan selari dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan emisi karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030.

Merujuk kepada X70, SUV ini sememangnya sudah menerima penarafan EEV waktu dilancarkan sebagai unit CBU pada bulan Disember 2018 lalu, tapi ini adalah kali pertama label tersebut dapat dilihat dilekatkan pada kenderaan. Selain itu, walaupun terdapat lagi kenderaan lain yang menerima penarafan EEV, Proton adalah syarikat pertama yang menggunakan label tersebut.

Bagi X70, label EEV oleh MARii ini cuma menunjukkan ia adalah model 1.8 TGDi. Seperti yang sudah diketahui, penggunaan bahan api X70 CKD adalah 7.6 liter bagi setiap 100 km (kitaran bercampur), atau 13.16 km bagi setiap liter. Ini adalah 13% lebih baik berbanding X70 CBU (7.8 liter bagi setiap 100 km), manakala emisi CO2 pula adalah 181 g/km. Turut dinyatakan adalah laju maksimum kenderaan iaitu 195 km/j.

Proton X70 CKD ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD (RM94,800), Executive 2WD (RM106,800), Premium 2WD (RM119,800) dan Premium X 2WD (RM122,800). Anda boleh mengetahui lebih banyak informasi berkenaan X70 dalam pautan yang disediakan di bawah atau pergi ke laman CarBase.my.

GALERI: Proton X70 Standard 2WD 2020

GALERI: Proton X70 Executive 2WD 2020

GALERI: Proton X70 Premium 2WD 2020

GALERI: Proton X70 Premium X 2WD 2020