
Ketika pelancaran model X9 facelift semalam, Pengurus Kanan Negara, Xpeng Malaysia, Chen Yinbin mendedahkan rancangan masa depan syarikat menjelang 2028 untuk pasaran tempatan.
Mengenai pemasangan tempatan (CKD), Chen berkata Xpeng dijadualkan untuk memperkenalkan X9 terbaru ini sebagai model CKD kedua. Ketika pelancarannya, MPV elektrik tersebut diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Walaupun Chen tidak memberikan tempoh bila versi CKD MPV itu akan diperkenalkan, kami menjangkakan mungkin akan dilakukan dalam tahun ini.
Baru-baru ini juga telah diumumkan bahawa model G6 telah dikeluarkan di kilang EPMB di Melaka, menjadikan SUV yang telah dinaik taraf itu sebagai model CKD pertama Xpeng di Malaysia. EPMB telah dipilih sebagai rakan kongsi CKD Xpeng pada Disember tahun lalu, dengan model X9 EV serta varian elektrik jarak jauh (REEV) PowerX akan menyertai G6 untuk dikeluarkan dari kilang di Melaka tersebut.

Chen juga menyatakan bahawa Xpeng akan menubuhkan pasukan R&D tempatan serta mewujudkan perkongsian strategik dalam bidang berteknologi tinggi dan canggih. Beliau juga menegaskan bahawa kereta yang dijual di sini akan ditetapkan ADAS-nya dengan peralatan yang sama seperti yang digunakan di kilang pintar globalnya.
Di samping itu, Xpeng juga akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan ARM untuk melabur dan menyokong penubuhan pusat semikonduktor dan cip automotif.
Beralih kepada rangkaian pengedarnya, Xpeng Malaysia menyasarkan untuk mempunyai 18 cawangan 3S di wilayah utama di seluruh negara, dengan jumlah yang akan meningkat kepada 30 menjelang 2028 untuk mencapai liputan 100% di semua negeri. Syarikat itu juga akan terus bekerjasama dengan JomCharge dan pengendali kemudahan pengecasan (CPO) lain untuk mengembangkan rangkaian pengecasannya dengan pantas.

Menjelang 2028, sasarannya adalah untuk mempunyai lebih 80 stesen Xpeng dan lebih 1,800 kemudahan pengecasan DC bersepadu di seluruh Malaysia. Chen juga menyatakan dalam pembentangannya bahawa sistem pembayaran akan disepadukan ke dalam aplikasi Xpeng tahun ini, yang juga akan menyaksikan pengenalan pengecasan hiper megawatt (1,000 kW) — yang merupakan langkah penting daripada pengecas DC 350 kW yang dilancarkan Oktober lalu.
Bagi sokongan lepas jualan, Chen berkata akan terdapat 30 pusat servis di seluruh negara menjelang 2028, yang selari dengan 30 pusat 3S yang telah dirancang. Menjelang tempoh tersebut, terdapat juga tiga pusat pembaikan bateri yang akan didirikan, untuk menyokong keperluan jangka hayat kenderaan elektrik di sini.
Bekalan alat ganti juga akan dioptimumkan lagi untuk kecekapan, daripada kadar 95% pada masa ini kepada 99% pada tahun 2028, dengan alat ganti dihantar dalam masa 24 jam untuk memastikan pembaikan atau penyelenggaraan yang segera. Akhir sekali, terdapat jaminan tanpa sempadan Xpeng ASEAN yang memastikan pemilik Xpeng Malaysia dilindungi dan masih mempunyai akses data dalam kenderaan sekiranya mereka melawat ke Thailand, Singapura dan juga Indonesia.





