Semasa dilancarkan pada penghujung tahun 2018, orang ramai boleh memilih empat varian untuk Proton X70, termasuk Executive AWD yang datang dengan sistem pacuan semua roda. Walaubagaimanapun, melalui model X70 CKD 2020 yang baru dilancarkan, tiada lagi varian ini.
Jumlah varian keseluruhannya masih lagi ada empat, tetapi semuanya adalah pacuan dua roda hadapan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium X 2WD. Melihat kepada penawaran ini, kenapa sebenarnya Proton tidak lagi menyediakan varian pacuan empat roda pada X70?
Jawapan ringkasnya adalah tidak ramai pelanggan yang berminat dengan varian Executive AWD ini. Sehingga kini, sekitar 28,000 unit X70 CBU sudah diserahkan kepada pelanggan, dan daripada jumlah itu, 50% adalah untuk varian Premium 2WD yang paling atas.
Pembeli yang memilih varian Executive AWD cuma 5% sahaja, dan apabila kurang permintaan, pengeluaran juga dihadkan. Dalam kes X70 CKD ini, permintaan yang sangat rendah untuk model X70 CBU pacuan empat roda menyebabkan Proton terus menghentikan penawarannya.
Memandangkan Premium 2WD adalah satu-satunya varian X70 CBU yang datang dengan ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan mencatat jualan paling tinggi, kita boleh membuat andaian bahawa pelanggan lebih mengutamakan ciri keselamatan dan bantuan pemandu berbanding sistem pacuan empat roda.
Mungkin ada yang mempersoalkan kos penyelenggaraan sistem pacuan empat roda, tetapi apabila melihat jadual servis yang disediakan oleh Proton untuk X70 CBU, beza kos antara varian 2WD dan 4WD untuk tempoh 150,000 km/7.5 tahun adalah cuma RM129.69 sahaja.
Sudah tentu, ada yang mahukan ADAS serta pacuan semua roda dalam satu pakej, tapi Proton tidak menawarkannya pada mana-mana varian. Kita juga tidak tahu sama ada terdapat permintaan untuk pakej seperti ini ataupun tidak. Anda rasa bagaimana? Adakah patut Proton menawarkan ADAS dan AWD dalam satu pakej atau sekurang-kurangnya ada satu varian AWD?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.