Model asas Ducati XDiavel 2021 kini disertai oleh dua versi yang baru diperkenalkan iaitu XDiavel Dark dan juga XDiavel Black Star. Dua versi cruiser yang serba gelap ini juga mendapat enjin yang melepasi tahap Euro 5.
XDiavel Dark hadir dengan penampilan yang lebih ringkas dan minimalis berbanding XDiavel biasa. Kebanyakan bahagiannya menggunakan warna matte black termasuklah rim. Kerangkanya diwarnakan Carbon Black sementara plet tepi dan pelindung radiator menggunakan besi anodised, yang juga berwarna hitam.
Sekiranya perlu, pemilik boleh mendapatkan tempat duduk khas untuk penumpang, berserta penyandar belakang, yang dijual secara berasingan bersama pelbagai lagi aksesori dalam katalog Ducati Performance. Bagi memudahkan pilihan, Ducati juga menawarkan pakej Sport, Touring dan Urban untuk dua versi XDiavel baru ini.
Untuk XDiavel Black Star pula, ia banyak mengambil inspirasi daripada rekaan kereta sports, dengan menggunakan gabungan warna kelabu, hitam matte serta kemasan merah, termasuk pada penutup head enjin. Rim jenis lightweight berwarna hitam kilat diberikan secara standard.
Penampilan XDiavel Black Star juga dijadikan lebih menarik dengan tempat duduk yang dibalut bahan khas, plet tepi forged anodised serta pelindung tali sawat aluminium berwarna hitam. Ia juga didatangkan terus dengan modul Bluetooth yang membolehkan sistem infotainmen disambung kepada telefon pintar untuk fungsi muzik, panggilan serta mesej.
Enjin Testastretta DVT V-twin 1262 pada model 2021 ini mampu menghasilkan kuasa 160 hp pada 9,500 rpm dan 130 Nm tork pada 5,000 rpm, bersamaan peningkatan kuasa 8 hp dan 2 Nm tork berbanding model sebelumnya. Antara yang membantu peningkatan kuasa ini adalah pemetaan semula enjin serta rekaan ekzos yang diambil daripada Diavel 1260.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.