Jenama automotif dari Jerman, BMW menyatakan mereka berminat untuk meneruskan kerjasama sedia ada dengan gergasi automotif dari Jepun, Toyota yang sudahpun bermula sejak 2011, lapor Reuters.
Menurut CEO BMW, Oliver Zipse, beliau berharap agar kerjasama antara kedua-dua syarikat ini akan terus berjalan sehingga melangkaui 2025. “Pada dekad hadapan, kami akan berusaha untuk mengukuhkan ikatan ini,” kata Zipse ketika sesi soal jawab berkenaan strategi syarikatnya semasa berlangsungnya Automobilwoche Kongress semalam.
Kerjasama ini bermula dengan minat untuk meneroka pembangunan kenderaan mesra alam dan juga teknolgi berkaitan seperti sistem bahan api sel dan juga penyelidikan terhadap bateri lithium-ion, serta berkongsi enjin diesel di Eropah.
Selepas ini, model janaan bahan api sel BMW i Hydrogen NEXT akan mula masuk ke produksi pada tahun 2022, di mana pembangunannya dibuat bersama Toyota. Antara projek yang sangat diketahui umum antara kedua-dua jenama ini sudah tentulah Toyota GR Supra A90 dan juga BMW Z4 G29 yang berkongsi platform dan enjin yang sama.
Walau bagaimanapun, kerjasama untuk kereta sport sebegini mungkin tidak akan diteruskan selepas ini kerana BMW turut sedang mengurangkan portfolio barisan modelnya. “Coupe, convertible dan roadster, kami akan lihat apa yang akan ditinggalkan,” kata Zipse
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.