Selepas lebih kurang tiga tahun Lexus LC 500 pertama kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan (dengan versi kemaskini pada Jun 2020), kini Lexus Malaysia melancarkan pula model sama dalam versi bumbung boleh dibuka di Malaysia. Lexus LC 500 Convertible merupakan model convertible pertama jenama berkenaan di sini, yang mempamerkan kualiti model flagship yang sama seperti sebelum ini.

Dari segi rekaan, sama seperti versi coupe-nya, ia mewarisi banyak sentuhan daripada model konsep LF-LC. Antara rekaan khusus yang ditampilkan pada model ini ialah rekaan depan yang rendah dan tajam, lampu projektor LED tiga-tahap serta gril “Spindle” yang melengkapi imej rekaan bumbung terbuka untuk menjadikannya tampil dinamik.

Di belakang, lampu kombinasi LED sepenuhnya membantu memberikan kedalaman tersendiri kepada bentuk keseluruhan yang terhasil, sementara lampu brek ketiga yang disepadukan di hujung bahagian penutup ruang barangan untuk menjadikan rekaannya lebih kemas. LC 500 Convertible menggunakan rim 21-inci yang diperkukuhkan dengan penyudah dua-tona berkilat serta salutan hitam yang menyumbang kepada imej maskulin kereta ini.

Di dalam, kereta sport ini memuatkan tata letak tempat duduk 2+2 (dengan ruang penumpang belakang yang sangat terhad sebenarnya) serta rekaan kokpit yang memberi tumpuan lebih kepada pemandu. Tempat duduknya dari jenis sport dengan balutan kulit yang lengkap dengan liang dan pemanas; ia juga datang dengan larasan elektrik lapan-arah dengan fungsi memori.

Selain itu, LC 500 Convertible turut menampilkan stereng tiga-jejari balutan kulit bersama tombol penukaran gear dengan rekaan Takumi. Skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci dengan paparan terpisah juga ada, yang menyediakan capaian segera kepada audio atau kawalan pendingin hawa atau pelbagai sistem lain, termasuk sistem tunjuk arah dengan pengaktifan suara.

Sistem ini yang turut disepadukan bersama Apple CarPlay dan Android Auto membolehkan pengguna memaparkan apa yang ada pada telefon mereka ke skrin utama. Turut tersedia ialah paparan lapan-inci Digital Combination Meter serta Heads-Up Display. Interface sentuhan jarak jauh juga ada tersedia di konsol tengah. Bagi sistem audio, model ini dipasangkan dengan 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System.

Dan tentulah, ghairah pada model ini tidak hanya terletak pada penampilan semata-mata – aspek pemanduannya juga setanding dengan imej yang cuba dibawa. LC 500 Convertible menggunakan enjin 5.0 liter V8 yang digunakannya. Digandingkan bersama transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan, enjin suntikan terus ini menghasilkan sebanyak 470 hp kuasa dan 540 Nm tork.

Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270 km/j. Hantaran kuasa ke roda belakang adalah melalui Torsen Limited Slip Differential yang akan mengagihkannya antara roda di sebelah kanan dan kiri secara pintar.

Dengan prestasi seperti itu, LC 500 Convertible masih mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 12.7 L /100 km (gabungan) disebabkan oleh ciri Dual Variable Valve Timing-intelligent (DVVT-i) yang turut digabungkan dengan ciri Artificial Intelligence Shift Control pada transmisi. Ciri pintar ini membantu meramalkan hasrat pemandu dan memilih gear yang sepatutnya untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik.

Suspensinya telah ditala dengan optimum bagi memberikan keselesaan dan pada masa yang sama, menawarkan prestasi dan kepuasan pengendalian. Ciri Adaptive Variable Suspension (AVS) telah diperhalusi untuk melengkapkan lagi rekaan kereta tanpa bumbung, menyediakan sehingga 650 tahap berbeza bagi daya serap.

Perbezaan utama berbanding model coupe sebelum ini tentulah mekanisme bumbung boleh buka yang ada padanya. Untuk itu, versi convertible ini melibatkan penambahan berat sebanyak 90 kg, dengan ruang barangan belakang yang tersedia berkapasiti 149 liter.

Bumbung lembut yang digunakan padanya terdiri daripada empat lapisan material (tiga lapis fabrik + material NVH) dan boleh dibuka atau ditutup ketika kereta bergerak dalam kelajuan maksima sehingga 50 km/j. Mekanisme lipatan bumbung dengan kuasa hidraulik ini juga membolehkan bumbung diturunkan dalam masa 15 saat, manakala dinaikkan semula dalam masa 16 saat.

Dari sudut keselamatan, LC 500 Convertible terbaru ini dilengkapi dengan Lexus Safety System+ (LSS+), yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan terkini yang direka untuk menghindari kejadian tidak diingin. Ini termasuklah sistem pra-perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar radar dinamik serta lampu tinggi automatik. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan enam-beg udara serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang sebagai ciri standard.

LC 500 Convertible ditawarkan dalam pilihan warna White Nova Glass Flake, Deep Blue Mica, Sonic Silver, Terrane Khaki Mica Metallic, Naples Yellow Contrast Layering, Blazing Carnelian Contrast Layering, Radiant Red Contrast Layering, Black, Graphite Black Glass Flake, Dark Grey Mica dan Sonic Titanium dengan pilihan warna untuk bumbung sama ada hitam atau beige. Bagi warna ruang dalaman, LC 500 Convertible menyediakan pilihan antara Flare Red, Black dan Ocher.

Lexus LC 500 Convertible dijual pada harga RM1,350,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan, tidak termasuk insurans. Ia datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000 km yang pertama, selagi ia diselenggara oleh juruteknik profesional Lexus yang terlatih di semua Pusat Lexus bertauliah. Serahan pembelian terawal LC 500 Convertible akan dilakukan pada awal Februari 2021.