Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

Apa yang Perodua ada untuk ditawarkan pada tahun 2021? Kami ingin membawa anda untuk kembali melihat apa yang boleh kita jangkakan daripada jenama ini untuk pasaran tempatan. Januari 2020, syarikat ini memperkenalkan Bezza facelift dan kemudiannya berkongsi perancangan mereka untuk masa terdekat. CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad, memaklumkan ketika itu, projek berikutnya jenama itu ialah “model yang menggunakan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture)“.

Ini kita tahu merujuk kepada model D55L, apa yang patut menjadi SUV Perodua dari jalur yang sama seperti Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Model ini pernah dilihat sedang diuji, dengan bentuk umumnya tidak lari banyak daripada model yang menjadi asasnya.

Perodua D55L SUV

Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

Bagaimanapun, akan ada kelainan pada penampilan luarannya, dan kita boleh dijangkakan SUV berkenaan akan diberi rekaan ruang dalaman yang berbeza dan tersendiri. Ini selari dengan pendekatan yang pernah dilihat pada Aruz, yang tetap berbeza daripada Terios dan Toyota Rush, walaupun semuanya berdasarkan model sama.

Sistem janaan bagaimanapun berbeza. Rocky di Jepun menggunakan enjin 1KR-VET 1.0 liter (996 cc) turbocas tiga-silinder petrol yang menghasilkan 98 PS (97 hp) pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi CVT serta pacuan roda depan dan pacuan semua roda.

D55L menjadi model penting bagi Perodua kerana bakal menggunakan platform serba baru pertama sejak beberapa tahun sebelakangan ini. Jika enjin sama dengan Rocky, ia juga akan jadi enjin turbo pertama dengan CVT yang ditawarkan di sini. AWD mungkin tidak akan ditawarkan. Menarik juga untuk melihat tangga harga bagi D55L ini, misalnya jika dibandingkan dengan Aruz yang ketika ini bermula dari RM68,526.

Asalnya D55L dicanang untuk dilancarkan pada 2020, tetapi selepas apa yang semua kita lalui tahun ini, ia dianjak ke tahun 2021. Ada khabar angin menyatakan ia akan dilancarkan pada Mac nanti. Perlu juga dinyatakan, D55L bukanlah pesaing bagi Proton X50, memandangkan saiznya lebih cenderung dikenali sebagai SUV segmen A di Jepun, berbanding X50 yang sedikit lebih besar dan berada dalam segmen B.

Perodua Myvi facelift

Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

Macam mana dengan Myvi? Walaupun bersi dikemaskininya diperkenalkan pada Julai 2020, itu sebenarnya hanya melibatkan tambahan ciri Advanced Safety Assist (ASA) 2.0 — yang pertama kali dipasang pada Aruz.

Memang tak ada yang pasti tentang ini, tetapi jika dilihat cara Myvi ditunjukkan kepada umum sejak beberapa waktu sebelum ini, dengan usianya yang sudah mencecah tiga tahun ketika ini, kemungkinan versi facelift yang sebenar sudah sampai masanya. Dan, jika benar ini berlaku, jangan jangkakan perubahan yang besar-besar. Cuma, menarik juga sekiranya versi Myvi GT dibawa untuk menemui peminatnya, bukan? Apa pun, setakat ini masih belum ada apa-apa tanda yang meyakinkan daripada Perodua tentang Myvi sporty ini. Teruslah berharap!

Perodua D27A/Alza serba baru

Perodua 2021 — SUV D55L baru, Myvi FL, Alza D27A?

Satu lagi jangkaan dan spekulasi yang mempunyai asas juga; iaitu pengganti Alza yang sudah berada dalam pasaran sejak 2009. Sejak itu, MPV kompak Perodua berkenaan telah melalui dua kali facelift, pertama pada 2014 dan kedua pada 2018. Dengan usia dalam pasaran yang sudah mencecah 12 tahun pada 2021, rasanya memang patut ada sesuatu yang baru untuk penawarannnya.

Tambahan, sepanjang usianya itu, tidak banyak perubahan yang dilakukan — masih dengan dua beg udara, tiada kawalan kestabilan, enjin DVVT yang sudah lama (bukan Dual VVT-i). Jadi kemaskini besar diperlukan untuknya.

Apapun, Perodua tidak pernah menyebut tentang kemaskini atau pengganti Alza. Tetapi, pada Oktober 2019, Perodua dilihat melakukan ujian terhadap Mitsubishi Xpander, Suzuki Ertiga dan Toyota Avanza di Genting Highlands. Adakah itu persediaan untuk pembangunan Alza baru yang menggunakan kod nama D27A? Ada juga laporan awal yang mencadangkan Daihatsi sedang mempersiapkan MPV baru, dan media-media di Indonesia mengaitkannya dengan Daihatsu Xenia generasi baru. Kita lihat nanti.

Produa dengan kuasa hibrid? Ini bukanlah terlalu asing, kerana mereka pernah mempamerkannya ketika KLIMS 2018. Perodua juga menyatakan yang mereka sentiasa terbuka dan mempertimbangkannya, termasuk teknologi elektrifikasi. Jadi ini bukanlah satu hal tidak mungkin dilakukan oleh Perodua.

Syarikat itu juga ada memaklumkan bahawa mereka mampu untuk memperkenalkan satu model baru dan satu model perubahan minor (facelift) setiap tahun. Tidak ada model serba baru untuk tahun 2020, kerana D55L telah dianjak ke tahun depan. Kita juga boleh menjangkakan Alza baru D27A juga dirancang pengenalannya untuk tahun 2021. Sama ada ini akan benar-benar berlaku, hanya masa yang akan tentukan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required