Bagi tahun 2021 ini, Moto Guzzi telah membuat keputusan memperbaharui model V9 Roamer dan V9 Bobber, dengan yang utama adalah pada bahagian enjin. Model ini sekarang menggunakan enjin v-twin 850 cc daripada V85 TT, bagi menggantikan unit 744 cc sebelum ini, mampu menghasilkan kuasa 65 hp dan 73 Nm tork.

Selain daripada itu, bahagian headstock model ini turut diperkuat demi menghasilkan tunggangan yang lebih stabil, manakala peletak kaki pula diletakkan dengan getah supaya lebih selesa. ABS dan kawalan cengkaman MGCT datang secara standard pada V9 (kawalan cengkaman boleh ditutup jika mahu).

Melihat kepada V9 Bobber, beberapa lagi peningkatan diberi, termasuk panel tepi aluminium serta fender yang lebih pendek. Ia juga menggunakan tayar yang lebih tebal di hadapan berbanding V9 Roamer dan kebanyakan bahagian diwarnakan hitam termasuk ekzos.

Moto Guzzi V9 menggunakan kotak gear enam kelajuan dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem syaf. Peningkatan lain yang diterima untuk tahun 2021 adalah panel instrumen digital baru serta semua lampu jenis LED.

Pilihan warna terang yang ditawarkan pada model V9 sebelum ini telah diganti dengan pilihan Grigio Lunare untuk V9 Roamer dan Nero Essenziale matte untuk V9 Bobber.