Setelah sekian lama memberi bayangan, akhirnya Mercedes-Benz menunjukkan juga secara penuh SUV elektrik terbaru mereka iaitu EQA. Ia boleh dianggap sebagai GLA versi tanpa emisi, dan merupakan model ketiga dalam barisan EQ selepas EQC dan EQV. Nanti, ia akan disertai pula oleh EQB, yang menggunakan asas GLB.

Seperti yang boleh dijangka, bentuk asas EQA ini sama sahaja dengan GLA tetapi muka hadapannya diubah sedikit dengan ciri seperti lampu runcing, gril hitam yang tertutup serta lencana hitam di tepi. Lampu LED penuh diberikan secara standard dan mempunyai jalur cahaya yang bersambung antara lampu kiri dan kanan di depan dan belakang.

Disebabkan jalur cahaya ini, serta logo yang diletakkan lebih rendah di belakang, tempat nombor plet kini berada bampar. Sama seperti model lain Mercedes-Benz, EQA juga ditawarkan dengan pakej AMG Line, yang memberikan bampar depan dan belakang lebih sporty serta gril khas. Pilihan rim ada sehingga 20 inci, bersama kemasan sama ada biru atau emas.

Untuk mendapatkan jarak gerak yang paling jauh, kereta elektrik memerlukan aerodinamik yang bagus. Pada EQA, ia cuma 0.28 Cd, dan lebih rendah daripada GLA, meskipun ia menggunakan rim 18 inci yang lebih besar secara standard. Bahagian lain yang membantu ciri ini adalah rekaan rim, salur udara aktif, bentuk lampu, panel bawah badan serta penutup radiator.

Bahagian dalam juga kebanyakannya sama seperti GLA, ataupun B-Class. Di hadapan pemandu terdapat dua skrin yang berukuran sama ada tujuh inci atau 10.25 inci, dan dilengkapi terus dengan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX).

Skrin sesentuh untuk infotainmen mempunyai menu spesifik EQ untuk pilihan mengecas, penggunaan elektrik dan kitaran tenaga, sementara panel paparan instrumen pula dilengkapi dengan petunjuk watt untuk menggantikan tahap rpm. Selain pilihan kemasan kayu atau aluminium, pembeli juga boleh mendapatkan jalur gentian optik yang menyala pada papan pemuka.

Selain daripada varian Progressive dan AMG Line, EQA juga akan ditawarkan dalam varian Electric Art yang menggunakan balutan kulit tiruan Artico serta kemasan warna emas pada corong pendingin hawa serta tempat duduk. Terdapat juga versi Edition 1 keluaran khas yang mendapat corong pendingin hawa warna biru serta gabungan fabrik biru dan kulit kelabu.

Hanya ada satu varian penggerak sahaja untuk EQA ini iaitu EQA 250, yang menggunakan satu motor elektrik asynchronous di hadapan untuk memberikan 140 kW (190 PS) dan 375 Nm tork, sekaligus membenarkan ia memecut dari kosong ke 100 km/j dalam masa 8.9 saat sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j. Bateri lithium ion 66.5 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak 426 km.

Menurut Autocar, Mercedes-Benz juga akan memperkenalkan beberapa lagi varian, termasuk versi pacuan semua roda dengan satu lagi motor elektrik synchronous di belakang, serta varian AMG prestasi tinggi. Untuk versi pacuan roda hadapan jarak jauh pula, ia dijangka dapat memberi jarak gerak sehingga 500 km mengikut kitaran WLTP.

Bagi menjimatkan ruang, bateri 420 volt pada EQA menggunakan bentuk bertingkat dengan sebahagian daripada berada di bawah tempat duduk belakang dan sebahagian lagi, iaitu yang lebih tinggi berada di bawah ruang simpanan belakang. Disebabkan itu, ruang barangan berkurang menjadi 340 liter (daripada 435 liter untuk GLA) dan ruang kaki penumpang belakang juga berkurang.

EQA boleh dicas menggunakan kuasa AC sehingga 11 kW, tetapi waktu mengecas bergantung kepada insfrastruktur yang digunakan. Kereta ini juga boleh menerima kuasa daripada pengecas pantas DC sehingga 100 kW, yang akan mengambil masa untuk mengecas dari 10% ke 80% dalam masa cuma setengah jam sahaja. Pembeli di Eropah dan Amerika akan menerima soket pengecas jenis CCS sementara Jepun dan China pula akan mendapat soket mengecas mereka sendiri.

Satu ciri yang membantu menambah lagi jarak geark adalah Eco Assist, di mana ia memberi seakan latihan kecekapan kepada pemandu. Ia juga menggunakan data navigasi, pengenalan tanda trafik serta maklumat lain daripada sensor kenderaan untuk menentukan sama perlu meluncur sahaja atau mengecas semula bateri apabila pemandu melepaskan pedal minyak.

Di Eropah, Mercedes-Benz turut memperkenalkan inisiatif Green Charging untuk menggalakkan penggunaan semula kuasa. Ia dimasukkan sekali dalam pakej Mercedes Me Charge dan memberikan akses kepada lebih 450,000 tempat mengecas di dalam 31 negara – didakwa sebagai rangkaian pengecas paling besar di dunia.

Sama seperti GLA, EQA juga dilengkapi dengan suspensi jenis MacPherson di hadapan dan four-link di belakang, sementara penyerap jenis adaptif disediakan sebagai pilihan tambahan. Mercedes-Benz juga memberitahu kereta ini mempunyai beberapa peningkatan yang dapat meningkatkan pengalaman pemanduan seperti struktur lebih tegap, getah tapak subframe yang diperelok serta bearing jenis elastomer kurang gegaran di gandar belakang.

EQA juga akan dilengkapi dengan fungsi keselamatan aktif biasa Mercedes-Benz termasuk Autonomous Emergency Braking dan Lane Keeping Assist. Fungsi yang disediakan sebagai pilihan tambahan pula adalah seperti Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Active Speed Limit Assist, Evasive Steering Assist, Blind Spot Monitoring serta Pre-Safe Plus.