Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

Mercedes-Benz Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model kompak terbaru, GLB X247 untuk pasaran tempatan. Dibangun menggunakan binaan MFA2 (Modular Front Architecture), model ini pertama kali dipertontonkan di peringkat global Jun lalu, dan diposisikan antara GLA dan GLC sebelum ini.

Untuk pasaran Malaysia, GLB ditawarkan dalam dua varian – GLB 200 Progressive dan GLB 250 4Matic AMG Line – serta pilihan ketiga model AMG, GLB 35 4Matic. GLB 200 dijual pada harga RM269,118.15 manakala GLB 250 pula pada harga RM318,009.26. Ini merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Sekadar perbandingan, model GLC ketika ini dijual bermula RM286,379 bagi GLC 200. Jaminan tanpa had empat-tahun disertakan sekali.

Apa bezanya GLB dengan GLC, misalnya? Selain beza platform yang digunakan (GLC dengan platform pacuan belakang Modular Rear Architecture, MRA), GLB menyediakan pilihan tempat duduk untuk tujuh penumpang (dalam tiga baris) berbanding GLC yang cuma hadir dengan lima-tempat duduk.

Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

Walaupun disifatkan sebagai kenderaan kompak Mercedes-Benz, GLB mempunyai saiz yang akan “lumayan” besar. Dengan 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar, 1,659 mm (lima-tempat duduk) atau 1,663 mm (tujuh-tempat duduk) tinggi, serta dengan 2,829 mm jarak antara roda, saiz GLB lebih mirip GLC (dengan dimensi 4,656 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,639 mm tinggi serta jarak antara roda 2,873 mm).

Dari segi rekaan, GLB menampilkan praktikaliti. Pendekatan rekaan berkotak digunakan, dengan bahagian bumbung yang rata hingga ke belakang, termasuk bahagian depan yang tegar dengan rekaan lampu petak dan gril enam-bucunya – berbeza sedikit penampilannya dengan model dalam kategori kompak yang lain.

GLB 200 hadir dengan pakej Progressive, yang termasuk di dalamnya gril depan dengan dua jalur melintang serta skid plate di depan, dan juga kemasan krom pada bahagian dalam pintu serta yang menghiasi muncung ekzos berkembarnya. GLB 250 pula sementara itu datang dengan kemasan AMG Line, tampil dengan bampar depan yang lebih agresif. Ia juga menerima kemasan krom di depan dan belakang – dengan gril rekaan jalur tunggal serta diffuser di belakang.

Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

Kedua-dua varian menerima lampu LED High Performance dengan landasan bumbung aluminium sebagai standard, dibezakan dengan rim aloi yang digunakan; GLB 200 menggunakan saiz 18-inci manakala GLB 250 dengan saiz 19-inci rim AMG jejari berkembar. Pilihan luaran pula terdiri daripada lapan warna; Polar White, Iridium Silver, Denim Blue, Galaxy Blue, Digital White, Cosmos Black, Mountain Grey dan Patagonia Red.

Di dalam, papan pemukanya mirip rekaan yang sama pada model kompak Mercedes-Benz yang lain; corong udara bulat serta sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) digunakan. Ini termasuk paparan 10.25-inci dan dikawal melalui skrin sentuh sentral, kawalan pada stereng, touchpad atau pengesanan suara.

Semua ini penawaran standard bagi GLB 200 dan GLB 250, termasuk modul LTE yang membolehkan penggunaan servis Mercedes me connected, sokongan kepada Android Auto dan Apple CarPlay, kerusi depan kuasa elektrik dengan fungsi memori, pintu ruang belakang kuasa elektrik, serta kawalan pendingin hawa dua zon Thermotronic.

Bagi ciri keselamatan, kedua-dua varian turut datang dengan kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pre-Safe, bantuan brek aktif, Keyless Go, sistem peninjau tekanan tayar dan pintu ruangan belakang Easy Pack.

Kelengkapan yang khusus untuk varian bagi GLB 200 pula termasuk kemasan corak gelung, stereng balutan kulit, kerusi selesa, tikar alas kaki dan kemasan kerusi kulit buatan Artico hitam. GLB 250 pula mendapat lebih perincian; ini termasuk kemasan struktur karbon, stereng balutan kulit Nappa, kerusi sport, kemasan kulit Artico/mikrofiber Dinamica (dengan benang merah), lampu suasana, tikar AMG, bantuan titik buta dan fungsi menghidupkan enjin dari jauh.

Untuk enjin, GLB 200 pacuan roda depan dikuasakan oleh unit M282 yang sama digunakan pada A 200. Enjin 1.33 liter turbocas empat-silinder berkenaan menghasilkan 163 PS (161 hp) pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork dari 1,620 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi 7G-DCT tujuh-kelajuan klac berkembar.

Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia — GLB 200 Progressive Line, GLB 250 AMG Line; dari RM269k

GLB 250 pula menggunakan enjin yang lebih berkuasa, 2.0 liter turbo empat-silinder – unit sama digunakan pada A 250 – dengan janaan 224 PS (221 hp) pada 5,800 rpm dan 350 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear 8G-DCT klac berkembar lapan-kelajuan serta sistem pacuan semua roda 4Matic.

Suspensi yang mengutamakan keselesaan adalah standard bagi kedua-dua varian, tetapi GLB 250 dilengkapi dengan pakej Off-Road Engineering, yang ada tambahan mod pemanduan bagi sistem Dynamic Select-nya, serta fungsi Downhill Speed Regulation (DSR) dan paparan khas pada kluster instrumen digitalnya.

Mercedes-Benz GLB 200 Progressive X247


Mercedes-Benz GLB 250 AMG Line X247


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required