Shell telahpun menandatangani perjanjian untuk membeli ubitricity, iaitu syarikat penyedia perkhidmatan pengecaj kenderaan elektrik (EV) tepi jalan utama di Eropah. Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, langkah ini adalah untuk membolehkan Shell meluaskan servis pengecaj EV sedia adanya, selari dengan opsyen pengangkutan karbon rendah untuk pelanggan yang sedang meluas buat masa sekarang.

Perjanjian berkenaan dijangka akan lengkap lewat tahun ini, selepas itu ubitricity akan menjadi subsidiari penuh Shell. Diasaskan di Berlin, Jerman, ubitricity merupakan rangkaian penyedia pengecaj EV awam paling besar di UK, dengan 2,700 pengecaj, memegang 13% pegangan pasaran.

Syarikat tersebut turut beroperasi di berberapa negara Eropah lain seperti Jerman dan Perancis, serta memberikan perkhidmatan kepada pelanggan flit yang turut melibatkan pemasangan lebih 1,500 pengecaj bagi kegunaan persendirian.

Ubitricity menghasilkan solusi pengecaj EV yang bersepadu dengan infrastruktur jalan raya sedia ada seperti tiang lampu dan tiang jalan, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. Sasaran mereka adalah untuk menghasilkan pengecaj kenderaan elektrik yang murah, serta mudah dan selesa untuk digunakan oleh sesiapa sahaja ketika memarkir kenderaan di tepi jalan, yang dilihat sangat berguna untuk mereka yang mempunyai EV tetapi tiada laman rumah.

Menurut ubitricity, mereka menganggarkan 60-85% proses mengecaj kenderaan EV ini dibuat di kawasan persendirian, manakala 15-40% dibuat pada kawasan awam. Walau bagaimanapun, 60% dari pemandu EV dalam bandar tiada akses kepada tempat parkir persendirian dan bergantung kepada fasiliti pengecaj awam yang sedang dikembangkan.

Menerusi platform pengecaj mereka yang digelar ubiCharge, syarikat tersebut menawarkan pelbagai solusi untuk memasang pengecaj awam, yang dirujuk sebagai SimpleSocket. Ini termasuk tiang lampu dengan kuasa mengecaj maksima 5.8 kW dan tiang jalan yang membekalkan kuasa sehingga 3.7 kW (fasa tunggal) atau 11 kW (tiga-fasa). Opsyen konvensional lain termasuk Wallbox dengan spesifikasi sama seperti pada sistem tiang jalan.

Pengambilalihan oleh Shell ini menandakan bahawa ubitricity akan berkembang dalam pasaran pengecaj EV tepi jalan yang kini sedang bertumbuh dengan laju, merangkumi jaringan sedia ada mereka dengan pengecaj ultra pantas dan pantas melebihi 1,000 unit di kira-kira 430 fasiliti runcit Shell, serta akses global hingga lebih 185,000 pengecaj EV pihak-ketiga.

“Dengan bekerjasama bersama pihak berkuasa tempatan, kami mahu berikan sokongan kepada pelanggan Shell yang semakin ramai mahu beralih kepada EV dengan membuatkan ia seselesa yang mungkin untuk mereka,” kata naib presiden Shell Global Mobiliti, Istvan Kapitany.

“Opsyen di atas jalan raya seperti pada pengecaj tiang lampu yang ditawarkan ubitricity akan menjadi ciri penting kepada mereka yang tinggal dan bekerja di bandar atau mempunyai akses yang terhad kepada tempat parkir bukan di jalan raya. Sama ada di rumah, atau di tempat kerja atau dalam perjalanan, kami mahu menyediakan opsyen pengecaj EV yang mudah diakses dan mampu milik untuk pelanggan kami bagi membolehkan mereka mengecaj tidak kita di mana mereka berada,” tambahnya lagi.

“Apa yang mengujakan ramai orang tentang ubitricity adalah integrasi kami terhadap pengecaj kepada insfrastruktur sedia ada pada jalan raya membolehkan proses mengecaj EV menjadi mudah dan senang untuk diakses bagi semua orang yang memerlukannya, di mana mereka memerlukannya,” kata CEO ubitricity, Lex Hartman.

“Khususnya di bandar-bandar lebih besar di mana akses untuk parkir luar jalan raya adalah terhad, ini merupakan solusi untuk ramai orang yang menunggu untuk beralih kepada pemilikan EV. Dengan menggabungkannya bersama jaringan solusi pengecaj EV Shell sedia ada memberikan pemandu EV akses kepada barisan penuh opsyen pengecaj, menjadikan Shell dan ubitricity padanan yang sempurna,” tambahnya lagi.