Toyota Harrier 2021 tiba di Singapura — dari RM489k

Toyota Harrier 2021 tiba di Singapura — dari RM489k

Tujuh bulan selepas Toyota Harrier terbaru diperkenalkan di Jepun, SUV premium tersebut kini mula memasuki pasaran eksport, antaranya Singapura. Model generasi keempat ini ditawarkan dalam dua pilihan enjin dan tiga tingkat kemasan di negara jiran itu.

Dua daripada varian berkenaan ditawarkan ketika ini, bermula dengan Elegance pada harga S$160,888 (RM489,200), diikuti dengan Luxury yang dijual pada harga S$173,888 (RM528,700). Varian spesifikasi pertengahan turut ditawarkan, tetapi harganya masih belum didedahkan.

Hanya model paling asas menggunakan enjin 2.0 liter NA Dynamic Force empat-silinder yang menghasilkan 170 hp pada 6,600 rpm dan 203 Nm dari 4,400 hingga 4,900 rpm. Kuasa disalurkan melalui Direct Shift-CVT, membolehkan SUV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat dengan laju maksimum 190 km/j. Penggunaan minyak ialah pada kadar 6.5 liter setiap 100 km.

Varian Premium dan Luxury pula merupakan model hibrid yang menggunakan enjin 2.5 liter Dynamic Force (176 hp/221 Nm) dan motor elektrik (118 hp/202 Nm) dan memberikan output keseluruhan 215 hp. Versi ini juga lebih pantas (0-100 km/j dalam masa 8.1 saat) tetapi dengan laju maksimum yang lebih rendah (180 km/j). Manfaat paling utama ialah penggunaan minyaknya; 4.7 liter setiap 100 km.

Toyota Harrier 2021 tiba di Singapura — dari RM489k

Menggunakan asas platform Global Architecture–K (GA-K) yang sama dengan Camry dan RAV4, Harrier terus memanfaatkan suspensi MacPherson strut di depan dan jenis double wishbones di belakang. Bagaimanapun, geometri suspensi berkenaan lebih cenderung untuk menambah keseimbangan keteguhan dan pengendalian, sementara penyerap hentak yang diperkemas pula memberi keselesaan dalam kelajuan lebih rendah. Bahagian penebat bunyi dan gegaran juga dipertingkatkan.

Di luar, Harrier nampak sedikit lebih besar daripada model terdahulunya, walaupun lebih rendah dan sporty. Kelengkapan lain termasuk lampu utama LED tirus, gril atas tertutup, gril bawah yang lebih besar, garis bumbung ala coupe dengan lampu belakang LED sepenuhnya. Semua model menggunakan rim aloi 18-inci.

Di dalam, konsol tengahnya menerapkan corak berlian, dengan papan pemuka kemasan kulit buatan. Panel infotainmen terapung di tengah; untuk pasaran Singpura, skrinnya bersaiz lapan-inci dan bukan 12.3-inci. Ia kekal dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri standard lain termasuk sistem tanpa kuncu, butang penghidup, kawalan pendingin hawa dua zon, pembersih udara Nanoe, kerusi pemandu larasan lapan-arah, kemasan barik, cermin pandang belakang anti-silau, pengilap automatik, paparan HUD 10.5-inci, pengecas tanpa wayar Qi, enam pembesar suara, kamera undur dan pintu belakang kendalian “hands-free”.

Toyota Harrier 2021 tiba di Singapura — dari RM489k

Model Premium menerima tambahan kemasan balutan kulit, kerusi dengan berliang dan kerusi penumpang depan larasan lapan-hala. Bagi varian Luxury pula mengenakan spoiler belakang dalam warna badan, side sill denga pencahayaan, kamera pada cermin pandang belakang serta bumbung kaca elektrokromik baru.

Dari sudut keselamatan, Harrier baru ini datang dengan tujuh beg udara dan kawalan cengkaman, serta sistem lengkap Toyota Safety Sense. Ini termasuklah brek autonomous dengan pengesanan pejalan kaki/pengayuh basikal, kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong dan lampu tinggi adaptif.

Dengan Singapura menjadi negara pertama di luar Jepun yang menerima Harrier (selain di AS yang menggunakan nama Venza), dah dekat sangat untuk lajak ke Malaysia. Memang Harrier sudah ada kehadirannya di sini sebelum ini, tetapi dalam keadaan pandemik yang tidak menentu ini macam-macam hal boleh berlaku. Kita tunggu dan lihat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required