Jenama British, MINI kini dilaporkan tidak lagi menggunakan kulit asli untuk balutan-balutan upholsteri bahagian dalaman model-model akan datang. Ketua MINI Design, Oliver Heilmer menyatakan perkara berkenaan dalam satu temu ramah dengan Autocar UK, dan menerangkan bahawa langkah tersebut diambil bagi mempromosikan kelestarian selari dengan peralihan kepada kenderaan generasi baharu.
“Kami tak perlukan kulit lagi pada masa hadapan, kerana kami tak percaya tahap kelestariannya. Kami yakin sepenuhnya bahawa kami ada produk moden dan bernilai tinggi tanpa kulit,” kata Heilmer dan menyatakan syarikatnya sudah mula membangunkan bahagian-bahagian dalaman yang mesra-alam.
“Fabrik pada tempat duduk produksi sekarang adalah 100% dikitar semula. Lapisan di bawahnya adalah 70% dikitar semula. Kami mahu hasilkan rekaan yang tidak lapuk dek masa. Rekaan satu-musim, seperti fesyen, bukanlah sasaran kami dalam menghasilkan rekaan MINI akan datang,” jelasnya lagi.
“Ia adalah inventif yang ringkas. Bahan-bahan akan dikitar semula, tetapi ia tetap mewah dalam masa yang sama. Dan inventif dalam aspek fungsi. Contohnya, kami guna gabus pada [konsep] Urbanaut. Nilai estetika akan datang lebih dari perspektif rumah, berbanding dari automotif,” tambahnya lagi.
Walaupun menumpukan aspek kelestarian, MINI masih tidak akan mengabaikan aspek warisan sejarahnya bagi memastikan faktor gaya tersendiri dan seronok masih menjadi keutamaan model-model baharunya. “Kami tanya soalan seperti ‘adakah suis togol masih digunakan pada masa hadapan?’ kerana anda suka menggunakannya. Kami masih perlu melakukan perkara asas kemudian tambah sentuhan ajaib MINI ke atasnya,” kata Heilmer.
Model prestasi tinggi juga akan menjadi perkara penting untuk masa depan MINI, dan dijangka barisan model John Cooper Works akan terus ditawarkan. “Saya secara peribadi percaya bahawa masih ada hubungan emosi yang perlu kami kekalkan untuk peminat hardcore kami bagi menghasilkan produk terhebat John Cooper Works yang memberikan nikmat pemanduan sebenar,” kata Heilmer lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.