Suzuki Swift facelift 2021 dilancarkan di Thailand – dua varian 1.2L CVT; 83 PS, 108 Nm; harga dari RM75k

Suzuki Swift facelift 2021 dilancarkan di Thailand – dua varian 1.2L CVT; 83 PS, 108 Nm; harga dari RM75k

Suzuki Swift generasi ketiga telah pun menerima peningkatan pada Mei tahun lalu, dan hatchback yang kini tampil dengan sentuhan lebih segar itu telah pun dilancarkan di Thailand. Tidak seperti model pre-facelift, hanya dua varian sahaja yang ditawarkan di pasaran berkenaan, ini termasuklah varian asas GL dan model spesifikasi penuh GLX, dengan dua varian iaitu GA dan GLX-Naxi digugurkan.

Enjin K12M Dualjet kembali digunakan untuk memastikan Swift dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan sebagai kereta eko oleh kerajaan Thailand. Unit penjana kuasa tersebut mampu memberikan sehingga 83 PS pada 6,000 rpm dan tork 108 Nm pada 4,400 rpm. Hanya enjin ini yang ditawarkan untuk Swift di Thailand, dan unit 1.2 liter NA ini turut dipadankan dengan CVT (gear maya enam-kelajuan) yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

Bagi perubahan gayanya, terdapat semakan kecil yang dilakukan termasuk melibatkan gril hadapan. Saiz dan bentuknya masih kekal, namun kemasan plastik yang diberikan pada bahagian tengah sebelum ini telah digantikan dengan jaluran krom nipis. Ditambah pula dengan kemasan dalam gril yang dengan rekaan baharu bagi menyerlahkan lagi gayanya.

Selain itu, lampu utama dan lampu belakang masih dikekalkan seperti sebelum ini, begitu juga dengan rekaan dalaman termasuk bentangan papan pemuka juga sama. Ciri standard yang diberikan untuk varian GL termasuklah stereng kuasa elektrik, roda stereng urethane tiga-jejari dengan larasan kecondongan, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, upholstery fabrik, tempat duduk hadapan larasan manual, unit utama asas (AUX, CD dan USB), pembesar suara hadapan dan kemasan dalaman dengan rona putih.

Untuk luaran, GL menerima roda keluli 15-inci, cermin sisi larasan kuasa, lampu utama halogen, lampu posisi LED, lampu belakang LED dan beberapa ciri keselamatan termasuk beg udara hadapan, ABS, EBD, ESP, kawalan menahan bukit, kawalan cengkaman dan sistem berhenti melahu.

Manakala GLX pula menerima tambahan ciri larasan teleskopik untuk roda stereng balutan kulit, indikator pada cermin sisi, roda aloi 16-inci, lampu utama LED, lampu kabus hadapan, kemasan perak untuk ruang dalaman, unit utama dengan skrin sesentuh lapan-inci (HDMI menggantikan AUX; sokongan Android Auto dan Apple CarPlay), empat beg udara tambahan (sisi dan tirai), dan kamera belakang. Varian tertinggi ini juga menerima brek cakera belakang berbanding dram pada GL – cakera ventilated digunakan untuk bahagian hadapan bagi kedua-dua model.

Harga bermula 557,000 baht (RM75,195) untuk GL, sementara GLX pula berharga 629,000 baht (RM84,915). Enam warna pilihan bagi luaran ditawarkan termasuklah Speedy Blue Metallic, Ablaze Red Pearl, Pure White Pearl, Star Silver Metallic, Mineral Grey Metallic dan Super Black Pearl.

Aksesori Suzuki Swift facelift 2021 (pasaran Thailand)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required