Kia telah mendedahkan kemas kini kepada strategi perniagaan Plan S mereka, semasa acara CEO Investor Day 9 Februari lalu, yang dibentangkan oleh presiden dan CEO syarikat, Ho Sung Song. “Kia dilahirkan semula pada tahun 2021 dengan logo baru, rekaan baru serta nama korporat baru. Kia juga akan berubah menjadi satu jenama yang mengujakan dan memberi inspirasi kepada pelanggan dengan pengalaman mobiliti yang inovatif,” kata Song.

Perhatian utama adalah kepada tenaga elektrik, dengan syarikat itu mempunyai perancangan pengenalan 11 EV baru menjelang tahun 2026 (setahun lebih awal berbanding rancangan awal). Daripada jumlah itu, tujuh akan dibina atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai Motor Group sementara empat lagi menggunakan asas sama daripada model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman sekarang.

Semua model ini akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran Kia untuk meningkatkan jualan EV kepada 880,000 menjelang 2030 dan menjadi “penjual global nombor satu.” Dalam hal yang sama, Kia turut meletakkan sasaran jualan tahunan pada 1.6 juta unit menjelang 2030, dengan kenderaan mesra alam (EV, hibrid elektrik dan plug-in hybrid) menyumbang sebanyak 40% daripada keseluruhan jumlah tersebut.

Untuk memulakan inisiatif ini, pengeluar dari Korea itu akan melancarkan EV khas pertama mereka, yang sekarang ini diberi nama kod CV pada bulan Julai. Model ini menggunakan platform E-GMP dan dikatakan dapat memberi jarak gerak sehingga 500 km, pengecasan ultra pantas serta pecutan 0-100 km/j dalam masa sekitar tiga saat. Semuanya dipakejkan dalam satu badan berbentuk SUV yang rendah.

Kia menambah, CV akan dilengkapi dengan ciri pemanduan semi autonomous Level 2, dan memasuki tahun 2023, semua EV mereka akan dilengkapi dengan sistem Level 3 Highway Driving Pilot (HDP). Perincian lanjut berkenaan spesifikasi dan prestasi CV akan didedahkan pada bulan Mac ini.

Satu lagi bahagian yang akan disertai oleh Kia adalah kenderaan kegunaan khas (PBV), dengan yang pertama akan didedahkan pada thaun 2022. Lebih banyak lagi kenderaan PBV ini akan diperkenalkan pada masa hadapan, bergantung kepada pasaran dan kesemuanya akan menggunakan platform khas PBV. Kia memberitahu, mahu mencapai jualan PBV sebanyak satu juta unit setahun menjelang 2030 dan akan bekerjasama dengan pelbagai syarikat untuk membangunkan platform bagi penghantaran tanpa manusia dan e-kewangan.

Servis mobiliti juga termasuk dalam strategi Plan S yang baru ini, dengan servis KiaMobility akan mula ditawarkan di lebih lagi pasaran Eropah. Servis perkongsian kenderaan berpusat di Sepanyol, iaitu Wible juga akan menerima lebih banyak lagi pilihan sementara program langganan Kia Flex akan diperkenalkan kepada negara selain Korea atas nama Kia Subscription.

Pada bahagian kewangan, Kia menjangkakan jualan global pada tahap 2.922 juta unit tahun ini, yang bersamaan dengan peningkatan sebanyak 12.1% berbanding tahun lepas. Jumlah ini akan memberikan pendapatan sebanyak 65.6 trilion won Korea (sekitar RM240 bilion) dan keuntungan 3.5 trilion won Korea (sekitar RM12.8 bilion), yang bersamaan dengan peningkatan masing-masing 10.8% dan 70.1%.

GALERI: Spyshot Kia CV